Anwar bidas pemimpin Melayu perbodoh rakyat


Diyana Ibrahim

Presiden PKR Anwar Ibrahim berucap ketika merasmikan Kongres Nasional Khas PKR pagi ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Mac, 2023.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim membidas pemimpin Melayu yang menurutnya memperbodohkan rakyat dengan amaran komuniti itu berdepan masa depan gelap.

Kenyataan memperjuangkan agenda Melayu itu hanya ditimbulkan apabila pemimpin itu tidak lagi berkuasa, katanya dalam ucapan sewaktu merasmikan Kongres Nasional Khas PKR pagi ini.

Sedangkan, pemimpin berkenaan hanya membolot harta untuk keluarga sewaktu berkuasa, katanya tanpa menamakan mana-mana individu secara khusus.

“Bagi saya ini bukan agenda Melayu. Ini bukan agenda rakyat dan majoriti Melayu, tapi agenda keluarga dan kroni.

“Ada orang sekarang 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa tapi sekarang mengeluh Melayu hilang segala-galanya.

“Hilang harta, hilang saham, bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk keluarga kemudian untuk anak-anak kamu. Jangan perbodohkan rakyat,” katanya.

Walau tidak menyebut mana-mana individu secara, contoh yang dikemukakannya itu dipercayai merujuk Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun dan 22 bulan.

Dr Mahathir dalam satu ucapan dua minggu lalu mendakwa masa depan Melayu akan gelap kerana kaum lain akan mendominasi ekonomi.

Dr Mahathir menyebut demikian selepas meninggalkan parti Pejuang yang diasaskannya bagi menyertai parti Putra.

Dalam ucapan di Stadium Malawati Shah Alam itu, Anwar turut memberi jaminan hak kaum Melayu, Islam dan Bumiputera lebih terbela dibawah kerajaan perpaduan.

Beliau memberi contoh pembelaan itu melalui tambahan peruntukan kepada pesawah dan pekebun kecil yang gagal dilakukan kerajaan terdahulu.

Ia juga bagi menjawab tuduhan Presiden PAS Abdul Hadi Wang yang mendakwa kerajaan perpaduan sengaja melewatkan projek ke negeri ditadbir parti tersebut.

“Peruntukan pekebun kecil, nelayan kita bertambah sebelum ini tiga tahun peruntukan tidak bertambah. Harga getah kini kita beri RM800 bagi pekebun kecil.

“Kemudian ahli Parlimen Marang kata kita zalim melewatkan projek tak bantu negeri pembangkang sebab itu saya kata tak tahulah beliau baca kitab mana,” katanya. – 18 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen