Kepulauan Galapagos dicemari jutaan tan sampah dari Asia, AS


Kura-kura gergasi yang dibiakkan di pulau Santa Cruz tiba di kepulauan Galapagos, Ecuador, pada Mei 2010. Kepulauan ini menempatkan lebih 2,000 spesies unik yang tidak dapat ditemui di mana-mana lokasi lain di dunia. – Gambar EPA, 16 Mac, 2018.

BERTAN-TAN sampah plastik dari Asia, Amerika Syarikat dan Amerika Selatan sampai ke Kepulauan Galapagos di Ecuador, yang menempatkan lebih 2,000 spesies unik yang tidak dapat ditemui di mana-mana lokasi lain di dunia.

Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unep) mengeluarkan gesaaan dari Galapagos untuk memerangi pencemaran laut oleh sampah plastik.

Saintis menganggarkan sejumlah 8 juta tan metrik pencemaran plastik berlaku di lautan setiap tahun.  

“Adalah sesuatu yang membimbangkan apabila melihat kesemua plastik ini menceroboh kawasan terpencil dan murni seperti Galapagos, oleh itu, kita perlu menukar corak penggunaan dan pengeluaran produk tersebut bagi menghentikan pencemaran yang berleluasa ini… Kita perlu berbuat demikian demi kesejahteraan semua spesies, termasuk kita sendiri,” kata Leo Heilman, yang juga pengarah serantau Unep.

Pencemaran plastik di lautan dikaitkan dengan kematian burung laut, mamalia marin dan penyu yang semakin meningkat. – Bernama, 16 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen