Siasatan kes bunuh wartawan, PM Slovakia letak jawatan


Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico, menyerahkan surat peletakan jawatan beliau kepada Presiden Andrej Kiska susulan pembunuhan seorang wartawan siasatan dan teman wanitanya bulan lepas. – Gambar EPA, 16 Mac, 2018.

PERDANA Menteri Slovakia, Robert Fico, meletak jawatan pada Khamis selepas berdepan krisis selama dua minggu susulan pembunuhan seorang wartawan siasatan dan teman wanitanya bulan lepas, lapor agensi berita China Xinhua.

Fico menyerahkan surat peletakan jawatan beliau kepada Presiden Andrej Kiska, menurut agensi berita tempatan.

Kerajaan gabungan yang dipimpin Parti Demokratik Sosial (Smer-SD) turut mengundurkan diri namun para menteri akan menyandang jawatan masing-masing sehingga kabinet baharu dilantik.

Fico, 53, akan kekal sebagai pengerusi Smer SD.

Presiden Kiska menugaskan Timbalan Perdana Menteri, Peter Pellegrini, untuk menubuhkan satu kerajaan baharu.

Terdahulu, Pellegrini mengemukakan tandatangan 79 anggota Parlimen yang menyokong pembentukan kerajaan baharu kepada Presiden Kiska.

Wartawan siasatan, Jan Kuciak, dan teman wanita beliau, Martina Kusnirova, masing-masing berusia 27 tahun, ditemui mati ditembak di rumahnya yang terletak di barat Slovakia pada 26 Februari.

Kuciak dikatakan sedang menyiasat kes penipuan membabitkan ahli perniagaan yang mempunyai hubungan dengan ahli politik.

Pembunuhan pasangan itu menyebabkan dua menteri meletak jawatan.

Menteri Kebudayaan, Marek Madaric, meletak jawatan pada 28 Feb manakala Menteri Dalam Negeri, Robert Kalinak, meletak jawatan seminggu kemudian. – Bernama, 16 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen