Pasukan impian Zahid berhempas-pulas ke MKT Umno


Mohd Azizi Jaeh

Di sebalik perebutan tiga kerusi naib presiden dan 25 jawatan ahli MKT, tumpuan dilihat pada usaha Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan untuk membina lingkungan orang yang benar-benar setia di keliling mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac 2023.

BULAN Mac tahun ini merupakan hari kebesaran dan hari penentuan yang sungguh mendebarkan seluruh ahli Umno.

Sama ada Umno akan memilih pemimpin baharu atau mengekalkan barisan lama – ia akan menjadi fokus perhatian umum. Paling mencuri tumpuan adalah pertandingan merebut jawatan naib presiden Umno.

18 Mac adalah tarikh akhir untuk melengkapkan keseluruhan senarai jawatan yang dipertandingkan.

Pelbagai tafsiran dilakukan pemerhati politik yang sibuk membuat ramalan, mempromosi dan menegakkan pandangan masing-masing berhubung peluang calon yang bakal terpilih dan calon yang mungkin tersingkir.

Di sebalik perebutan tiga kerusi naib presiden dan 25 jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ini, tumpuan dilihat pada usaha Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan untuk membina lingkungan orang yang benar-benar setia di keliling mereka.

Faktor pemberat pemilihan kali ini ialah perebutan kuasa di antara calon yang mengelilingi presiden di satu pihak, manakala di satu pihak lain pula calon yang dikatakan bukan di kalangan orang presiden.

Calon yang bukan di kalangan orang presiden sebenarnya tidak jelas tanda identitinya kerana mereka tidak mempunyai ketua.

Boleh jadi dalam keadaan tertentu mereka bersikap neutral, kritikal dan benar-benar mahukan perubahan kepimpinan.  

Namun, kesetiaan dan kepatuhan pemimpin mengikut ukuran piawaian Umno lazimnya akan menunjukkan sikap tidak menentang keputusan parti serta sering dianggap yes man.

Pembahagian pertandingan mengikut kumpulan atau regu kali ini sebenarnya tidak jelas berbanding yang dapat dilihat dalam sejarah pemilihan Umno, seperti pada 1987.

Pada tahun itu, gandingan kumpulan Dr Mahathir Mohamad-Ghafar Baba melawan kem Musa Hitam-Tengku Razaleigh Hamzah.

Meskipun begitu, perang saraf dilancarkan pasukan pro-Zahid dengan kempen mengenai risiko yang timbul sekiranya orang di sekeliling presiden tidak dapat diletakkan dalam struktur MKT.

Sekiranya mereka tidak mendapat jawatan tersebut, yang meliputi naib presiden dan ahli MKT, maka disebut kedudukan kerajaan perpaduan boleh terancam.

Mereka membina persepsi bahawa calon yang bukan di kalangan orang presiden ini perantara dan menjadi broker kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mengangkat Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Nama-nama yang tidak sealiran dengan parti ini telah dipecat serta digantung keanggotaannya seperti Ismail Sabri Yaakob, Hishamuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Noh Omar.

Mereka dikatakan sebagai dalang yang sedang menaja, mengatur dan merencanakan strategi bagi mengeluarkan Zahid.

Mereka juga didakwa meletakkan calon proksi dengan bantuan dana serta sokongan luar untuk mengambil alih Umno.

Mereka juga dicap sebagai kelompok pengkhianat kerana kecenderungan mereka kepada PN dan mengkritik parti secara terbuka.  

Zahid pada masa ini perlu melemahkan penentangan terhadapnya dan menyusun seramai mungkin calon MKT yang bakal menang dalam lingkungan kuasanya.

Sekiranya kemenangan berpihak pada calon lawan, ia merupakan petanda kedudukan Zahid tidak selamat dan pengaruhnya merosot dalam Umno.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada masa ini perlu melemahkan penentangan terhadapnya dan menyusun seramai mungkin calon MKT yang bakal menang dalam lingkungan kuasanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac 2023.

Turut disebarkan pada waktu ini ialah kempen bahawa presiden Umno boleh disingkirkan menerusi undi tidak percaya dengan majoriti dua pertiga dalam mesyuarat MKT.

Dengan mewujudkan satu pakatan strategik dan mengheret lebih ramai penyokong bertanding dalam MKT, kedua-dua kem kini berharap dapat menumbangkan seteru politik masing-masing.

Kesan dramatik daripada kekalahan Umno dalam dua PRU lepas terhadap politik dalaman Umno adalah perancangan untuk menggulingkan Zahid.

Tetapi perencanaan ini ditangani dan dikawal dengan cara pemecatan dan penggantungan bilamana orang Zahid berjaya menguasai lebih 90% jawatan MKT.  

Politik ini hakikatnya terdapat pelbagai lapisan. Lapisan pertama pemimpin harus menunjukkan sikap terbuka dan demokratik terhadap pertandingan di khalayak umum.

Namun, lapisan kedua yang tidak kelihatan secara nyata di mata masyarakat ialah perang saraf untuk melumpuhkan pihak lawan kerana menggugat kedudukan mereka.

Naib presiden merupakan jawatan eksekutif ketiga paling kanan selepas presiden dan timbalan.

Dari segi sejarah, tokoh besar yang menempa nama dalam perjuangan Umno akan mendaki tangga jawatan tersebut sebelum ke jawatan lebih tinggi. Posisi naib presiden akan menentukan kedudukan pemimpin itu dilantik sebagai menteri.

Seramai lapan calon menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya parti yang biasanya digelar sebagai perang besar.

Calon berstatus menteri antara calon pilihan untuk menang. Biasanya para perwakilan akan mempertimbangkan faktor sumber yang dimiliki menteri berkenaan untuk menumpang tuah.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said, Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin yang juga penyandang naib presiden serta Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail antara calon berkelebihan.

Lagi pula, kedudukan mereka ini sebagai menteri atas cadangan dan restu presiden Umno.

Tiga individu berkenaan boleh bertindak sebagai pembantu setia dalam mengukuhkan pasukan impian Zahid. Tambahan pula, Azalina boleh memecahkan tradisi kepimpinan wanita pertama sekiranya diangkat sebagai naib presiden yang lebih dikuasai politik patriarki.

Khaled Nordin juga antara pilihan untuk mempertahankan jawatan ini. Beliau dipandang sebagai calon yang tidak diselubungi kontroversi dan berpengalaman sebagai pentadbir di peringkat negeri.

Beliau juga pernah menjadi menteri besar Johor dan ini kali kedua beliau mengendalikan Kementerian Pendidikan Tinggi di peringkat pusat.

Wan Rosdy dari Pahang pula disifatkan pemimpin akar umbi yang menguasai realiti politik luar bandar.

Watak pemberi khidmat masyarakat diperlukan untuk negeri itu mengukuhkan semula kedudukan Umno sebagai kubu kuat.

Sudah agak lama tokoh Umno tidak dipilih dalam kalangan menteri besar dan ketua menteri. Kali terakhir Mohd Ali Rustam, bekas ketua menteri Melaka.

Tiga calon pilihan lain untuk memenangi naib presiden antaranya bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad dan bekas menteri kewangan kedua Johari Ghani. Seorang lagi ialah bekas menteri pembangunan dan kerajaan tempatan Reezal Merican.

Hasni antara individu yang bertindak sebagai perencana penting dalam menyumbang kemenangan besar dalam pilihan raya negeri Johor.

Johari pula antara ahli Parlimen yang berjaya menerobos kekuatan PH di kawasan bandar.

Beliau satu-satunya dari Umno yang dapat menawan kerusi bandar (Titiwangsa) yang sememangnya diketahui tidak dikuasai parti itu.

Latar belakangnya sebagai ahli korporat menguatkan imej beliau untuk mengulas dan membahaskan tentang isu ekonomi dengan agak baik.

Reezal pula dilihat pencabar penting sebagai pemimpin yang bersuara progresif dan membawakan perwatakan suara generasi muda.

Namun Reezal tidak berjaya mengekalkan kedudukan sebagai ahli Parlimen dalam PRU15 apabila tewas di kerusi ditandinginya.

Nasib sama juga dihadapi penyandang jawatan naib presiden iaitu Mahdzir. Tokoh ini sebenarnya berpengalaman di peringkat negeri dan pusat.

Namun, tanpa kedudukan dan jawatan, kecenderungan untuk dipilih agak rendah. Mereka boleh digelarkan calon underdog seperti seorang lagi calon yang kurang dikenali, Mohd Yusof Musa.

Akhirnya, yang menang akan terlambung di posisi yang strategik. Yang tewas akan terhumban sehingga ke pinggir jurang.

Naratif dan cerita tentang calon pilihan presiden sedikit sebanyak akan mempengaruhi pertimbangan perwakilan esok.

Penulis menjangkakan pasukan impian Zahid hampir pasti menjadi kenyataan. Keputusan pemilihan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri minggu lalu sudah menampakkan bayangan dan cerminan keputusan keseluruhan nanti.

Pesanan untuk 160,000 perwakilan Umno yang layak memilih dengan serangkap pantun yang biasa dibacakan:

Kalau mencari tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai,
Kalau mencari pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai.
– 17 Mac 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen