KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengkaji semula beberapa cadangan berkaitan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Teo Nie Ching berkata rang undang-undang (RUU) Akta 588 telah diluluskan Jabatan Peguam Negara dan jemaah menteri sebelum Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) lepas, namun kerajaan perpaduan memerlukan sedikit masa untuk meneliti apa pindaan yang dicadangkan sebelum ini.
“Setakat ini taklimat (dengan MCMC) belum lengkap lagi kerana ada perkara yang kita minta MCMC kaji semula. Selepas dapat semua input dan berpuas hari dengan draf RUU itu, kita akan hantar ke AGC dan jemaah menteri untuk kelulusan,” katanya.
Bercakap kepada media selepas melancarkan kempen #BeCyberSmart dan aplikasi Protect 360 oleh Courts Malaysia dan F-Secure Corp di Sepang hari ini, Teo berkata sekiranya berjalan lancar RUU itu boleh dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.
Sebelum ini, Teo dilaporkan berkata KKD sedang menilai dan mengkaji Akta 588 sebagai langkah memastikan kebebasan bersuara yang diberikan mempunyai had dan tidak menyentuh sensitiviti yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
Beliau berkata KKD kini dalam usaha mengkaji semula Seksyen 233 supaya pindaan boleh dibuat untuk memberi kuasa yang lebih besar MCMC serta cadangan menaikkan lagi hukuman yang boleh dikenakan di bawah seksyen itu.
Sementara itu, Teo berkata MCMC akan membuat siasatan terhadap individu yang menyalah guna nama atau kedudukan Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk tujuan tertentu secara dalam talian.
Beliau berkata hasil siasatan oleh MCMC itu akan dihantar kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
Pada 15 Mac lepas, PMO berkata tindakan pihak yang secara sengaja menyalah guna nama atau kedudukan PMO bagi tujuan tertentu akan memberi kesan negatif kepada kredibiliti PMO dan institusi kerajaan. – Bernama, 17 Mac 2023.
Komen