Menteri luar China adakan perbincangan dengan rakan sejawat dari Ukraine 


Menteri Luar China, Qin Gang berkata trend hubungan kedua-dua negara kekal menunjukkan perkembangan yang baik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mac, 2023.

MENTERI Luar China, Qin Gang pada Rabu mengadakan perbincangan menerusi telefon dengan rakan sejawatnya dari Ukraine, Dmytro Kuleba.

Qin berkata trend hubungan kedua-dua negara kekal menunjukkan perkembangan yang baik sejak hubungan diplomatik terjalin sejak 31 tahun lalu.

“China menyanjung usaha Ukraine untuk mengembangkan hubungan yang ikhlas berdasarkan saling menghormati.

“China bersedia bersama-sama Ukraine untuk mendorong hubungan kedua-dua negara terus berkembang dengan secara stabil,” kata beliau.

Qin berkata kerjasama China-Ukraine mempunyai potensi besar dan asas yang baik, sekali gus menyaksikan proses memacu modenisasi ala China mampu memberi peluang kerjasama lebih luas kepada kedua-dua pihak.

Sementara itu, Kuleba berkata China bukan sahaja merupakan rakan kerjasama penting bagi Ukraine, malah turut disifatkan sebagai negara yang tidak boleh diabaikan dalam hal ehwal antarabangsa.

Beliau turut mengucapkan tahniah terhadap China yang berjaya mendorong Arab Saudi dan Iran menyambung semula hubungan diplomatik.

“Kami (Ukraine) melihat hubungan dengan China dari segi jangka masa panjang, akan terus mematuhi prinsip Satu China, menghormati keutuhan wilayah China dan berharap terus meningkatkan hubungan saling mempercayai untuk mengintensifkan kerjasama pelbagai bidang,” kata Kuleba.

Beliau turut memberikan perkembangan terkini krisis di Ukraine, di samping menzahirkan penghargaan terhadap China atas bantuan kemanusiaan dihulurkan China.

Menurut Kuleba, dokumen China mengenai pendiriannya bagi menyelesaikan krisis Ukraine melalui langkah politik telah memperlihatkan keikhlasannya untuk menghentikan peperangan dan pihaknya berharap agar dapat terus mengekalkan interaksi dengan China.

Pada perbincangan itu, Qin turut mengulangi mengenai ‘empat perkara penting’ yang dikemukakan Presiden Xi Jinping iaitu pendirian objektif dan adil China dalam isu Ukraine, berusaha menyeru rundingan damai dan masyarakat antarabangsa mewujudkan syarat wajib bagi rundingan damai.

Beliau berkata China berharap pelbagai pihak mengawal diri dan memulihkan rundingan damai secepat mungkin untuk mendorong krisis ditangani melalui langkah politik.

“Kami juga berharap Ukraine dan Rusia untuk tidak menutup pintu penyelesaian politik waima apa juga kesukaran dan cabaran yang dihadapi.

“China akan terus memainkan peranan yang membina dalam menghentikan peperangan, meredakan krisis dan memulihkan keamanan,” kata Qin. – Bernama, 17 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen