PERTIKAIAN berkaitan isu meracun seorang pengintip kian tegang pada Khamis apabila pemimpin Perancis, Jerman, Amerika Syarikat dan United Kingdom mengeluarkan kenyataan bersama menyalahkan Rusia bagi serangan agen saraf ke atas seorang bekas pengintip Rusia serta anak perempuannya.
“Kami, pemimpin Perancis, Jerman, Amerika Syarikat dan United Kingdom, amat membenci serangan yang dilakukan ke atas Sergei dan Yulia Skripal di Salisbury, UK pada 4 Mac 2018,” lapor agensi berita China Xinhua memetik satu kenyataan.
Keempat-empat negara turut menggesa Rusia memberi penjelasan penuh dan lengkap berkaitan program agen sarafnya, Novichok, kepada Pertubuhan Larangan Senjata Kimia.
Novichok adalah sejenis agen saraf gred tentera yang ditemui di lokasi kejadian meracun itu, menurut kerajaan UK.
Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, pada Khamis berkata UK enggan bekerjasama dengan Rusia “dalam memenuhi tanggungjawabnya sebagai penandatangan kepada Konvensyen Senjata Kimia.”
Rusia akan mengambil tindakan balas terhadap UK berhubung perkara itu, katanya.
Perdana Menteri UK, Theresa May, pada Rabu mengumumkan bahawa beberapa langkah yang diambil terhadap Rusia berikutan kegagalan negara itu memberikan maklum balas kepada desakan untuk menjelaskan bagaimana agen saraf gred tentera boleh digunakan dalam serangan tersebut.
Langkah itu termasuk mengusir 23 diplomat Rusia dalam tempoh seminggu, membekukan aset negara itu di UK, menggantung semua kontrak dua hala peringkat tinggi yang telah dirancang serta tindakan memboikot Kejohanan Piala Dunia FIFA 2018 yang berlangsung di Rusia oleh para menteri dan keluarga diraja.
Pertikaian antara London dan Moscow meletus berikutan percubaan membunuh bekas ejen dua muka Rusia, Sergei Skripal, 66, serta anaknya, Yulia, 33.
Sergei dan Yulia telah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas sebuah bangku di luar pusat membeli-belah di Salisbury, yang terletak di barat daya London pada 4 Mac.
Mereka masih berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital.
London berkata kedua-dua beranak itu telah didapati terdedah kepada sejenis agen saraf dan Rusia bertanggungjawab bagi serangan tersebut.
Moscow telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa ia bertanggungjawab dalam insiden itu. – Bernama, 16 Mac, 2018.
Komen