KOREA Utara berkata peluru yang dilancarkannya pada Khamis adalah peluru berpandu balistik rentas benua yang dikenali sebagai Hwasong-17, lapor agensi berita KCNA.
Peluru berpandu itu, yang pelancarannya sebelum ini dilaporkan oleh Seoul, ditembak ketika latihan ketenteraan bersama “provokatif dan agresif” yang dijalankan oleh Amerika Syarikat dan Korea Selatan, kata agensi itu pada Jumaat.
Ia adalah kali ketiga Korea Utara menunjukkan keupayaan senjatanya sejak Ahad dan berlangsung ketika Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol ke Tokyo sempena sidang kemuncak bagi meningkatkan hubungan dalam menghadapi pencerobohan Pyongyang yang berterusan.
“Latihan itu bertujuan sebagai satu kesempatan untuk memberi amaran lebih keras kepada musuh yang sengaja meningkatkan ketegangan di semenanjung Korea,” kata KCNA.
Pyongyang berkata peluru berpandu itu bergerak pada ketinggian maksimum kira-kira 6,000km dan terbang kira-kira 1,000km sebelum mendarat tepat di kawasan pratetap di perairan terbuka di Laut Timur Korea,” juga dikenali sebagai Laut Jepun, menurut laporan KCNA.
Korea Selatan berkata peluru berpandu itu ditembakkan pada trajektori yang tinggi—ke atas dan bukannya keluar, seperti biasa dilakukan untuk mengelak terbang ke ruang udara negara jiran.
Seoul dan Washington meningkatkan kerjasama pertahanan dalam menghadapi ancaman ketenteraan dan nuklear yang semakin meningkat dari Utara, yang menjalankan beberapa siri ujian senjata terlarang yang semakin provokatif dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada Selasa, Korea Utara melepaskan dua peluru berpandu balistik jarak dekat, selepas dua peluru berpandu jelajah strategik dari kapal selam pada Ahad, hanya beberapa jam sebelum latihan AS-Korea Selatan bermula.
Dikenali sebagai “Freedom Shield”, latihan itu bermula pada Isnin dan akan berlangsung selama 10 hari.
Ia memberi tumpuan kepada “persekitaran keselamatan yang berubah” ekoran pencerobohan Korea Utara, kata sekutu.
Korea Utara menyifatkan semua latihan itu sebagai latihan pencerobohan dan berulang kali memberi amaran akan mengambil tindakan sebagai tindak balas. – AFP, 17 Mac, 2023.
Komen