Roger Ng tiada wang pulangkan AS$35 juta milik 1MDB


Roger Ng didapati bersalah pada April tahun lalu kerana bersubahat melanggar undang-undang antirasuah AS dan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB. – Gambar AFP, 17 Mac, 2023.

BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berkata tidak dapat memenuhi tuntutan pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) bagi pelucuthakan AS$35 (RM158 juta) kerana kerajaan Malaysia sudah merampas semua wangnya, lapor Bloomberg.

Ng diperintahkan membayar jumlah itu sebagai keuntungan yang diperoleh secara haram selepas turut dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh mahkamah New York minggu lalu kerana peranannya dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Hakim daerah AS Margo Brodie masih belum membuat keputusan mengenai pelucutkan itu tetapi mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujah sama ada jumlah diminta oleh pihak pendakwa melanggar Pindaan Kelapan, yang melarang tuntutan berlebihan bersama dengan hukuman kejam dan luar biasa.

Peguam Ng, Marc Agnifilo, berhujah anak guamnya tidak mempunyai wang kerana kerajaan Malaysia sudah merampas lebih AS$35 juta daripada 11 akaun yang dipegang oleh keluarganya.

“Pegawai polis Malaysia sangat jelas yang ia mahukan semua wang dalam akaun yang berbeza; bukan hanya pemulangan dana yang dikaitkan secara rasmi kepada 1MDB,” tulis Agnifilo.

Agnifilo berkata tuntutan itu juga melanggar Pindaan Kelapan Perlembagaan AS.

Brodie berkata beliau percaya pelucutkan itu “mengikut undang-undang” bagi jenayah yang disabitkan oleh Ng tetapi mahu kedua-dua pihak menangani hujah Agnifilo yang tuntutan AS$35 juta itu “sangat tidak seimbang”.

Ng didapati bersalah pada April tahun lalu kerana bersubahat melanggar undang-undang antirasuah AS dan pengubahan wang haram. Bekas bosnya di Goldman dan konspirator bersama 1MDB, Tim Leissner, mengaku bersalah dan menjadi saksi utama kerajaan terhadapnya. – AFP, 17 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen