Najib mesti ambil sikap tentang laporan Unicef


PERDANA Menteri Najib Razak sudah memulakan kempen untuk pilihan raya umum akan datang sejak beberapa minggu yang lalu.

Kenyataan beliau yang diulang-ulang semuanya tentang pembangunan dan kemajuan negara, dengan tujuan utama meyakinkan mereka yang di atas pagar.

Dalam usahanya meraih undi, Najib mengetepikan sepenuhnya laporan Unicef, yang mendapati ada kadar kemiskinan dan malnutrisi yang lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal di perumahan kos rendah di Kuala Lumpur berbanding purata nasional.

Menteri-menteri Kabinet dan penyokongnnya mengambil satu langkah yang ke depan dengan menepis laporan itu, sementara yang lain dengan cepat mengatakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cuai.

Dalam satu kenyataan terbaru, Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid menolak laporan itu dalam sidang Parlimen pada Selasa.

Menjawab soalan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, beliau menepiskan kajian Unicef itu yang menunjukkan kanak-kanak di Malaysia lebih bantut daripada kanak-kanak di Ghana.

Mahdzir bagaimanapun tidak peduli hendak mengesahkan pemerhatiannya, begitu juga dengan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Sebaliknya, Pengerusi Penyokong Barisan Nasional Shahrir Samad mengakui laporan itu dalam satu sidang media minggu lalu. Katanya, masalah kemiskinan itu perlu ditangani melalui pendekatan pelbagai cabang.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar Mastura Yazid senada dengan sentimennya itu apabila memberi amaran kerajaan perlu mengurangkan jurang pendapatan rakyat dan memberikan rawatan perubatan khas kepada kanak-kanak miskin bandar.

Saya teruja melibat adanya suara yang tegas dari kedua-dua belah pihak di Parlimen yang bercakap bagi pihak kanak-kanak terpinggir ini.

Tetapi saya berharap speaker juga melihat keseriusan isu ini.

Apabila saya meminta kebenaran Pandikar Amin Mulia agar laporan Unicef dibahaskan di Parlimen minggu lalu, beliau mendakwa ia tidak perlu kerana enam kementerian sedang meneliti laporan itu dan akan mengambil langkah menangani isu-isu yang berbangkit.

Kenyataan Mahdzir sama sekali bertentangan dengan alasan speaker.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang juga meminta kerajaan mengambil langkah segera menangani nasib kanak-kanak ini.

Oleh itu, menteri Kabinet seperti Mahdzir dan pegawai kerajaan yang lain tidak harus mengetepikan begitu saja masalah sebenar yang dihadapi oleh keluarga miskin di rumah pangsa kos rendah seperti yang didedahkan dalam laporan itu.

Laporan pelbagai bidang itu dijalankan oleh sepasukan penyelidik ke atas 2,142 kanak-kanak dari 17 rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur dan Selangor.

Ia juga melibatkan masukan daripada Kementerian Kesihatan, Bank Negara Malaysia dan statistik pendapatan dan simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dalam satu perbincangan meja bulat yang diadakan pada pertengahan Januari 2018.

Dengan meremehkan laporan itu, Mahdzir dengan sengaja mengabaikan isu berkenaan.

Tetapi lebih penting daripada itu, Najib, sebagai ketua kerajaan, perlu menyatakan pendirian kerajaan terhadap laporan Unicef.

Melainkan kalau beliau merasakan kempen menjelang pilihan raya ini lebih mustahak baginya.  – 16 Mac, 2018.

* Charles Santiago adalah ahli Parlimen Klang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen