Anggota polis Indonesia dipenjara berhubung insiden rempuhan Malang 


Tragedi di stadium Kanjuruhan, Malang itu mengorbankan 135 orang termasuk lebih 40 kanak-kanak.– Gambar Facebook, 16 Mac, 2023.

MAHKAMAH Indonesia menjatuhkan hukuman penjara ke atas seorang anggota polis selama 18 bulan pada Khamis kerana kecuaian yang menyumbang kepada salah satu bencana stadium terburuk dalam sejarah bola sepak.

Namun keluarga mangsa mengkritik perbicaraan itu ketika dua pegawai lain masih bebas.

Tragedi di kota Malang itu mengorbankan 135 orang—termasuk lebih 40 kanak-kanak—selepas kekalahan 3-2 untuk Arema FC oleh pesaing sengit mereka dari Jawa Timur Persebaya Surabaya.

Apabila penyokong menceroboh padang Stadium Kanjuruhan, polis melepaskan gas pemedih mata, menyebabkan tercetus rempuhan maut.

Lelaki yang dipenjara pada Khamis lalu, Hasdarmawan, adalah komander unit briged bergerak polis Jawa Timur.

“Defendan gagal meramalkan situasi yang sebenarnya agak mudah dijangkakan. Terdapat pilihan untuk tidak melepaskan (gas pemedih mata) untuk bertindak balas terhadap keganasan penyokong,” kata hakim Abu Achmad Sidqi Amsya kepada mahkamah di Surabaya, ibu negeri Jawa Timur, ketika menjatuhkan hukuman itu.

Hasdarmawan sebelum ini menafikan mengarahkan orang bawahannya melepaskan gas pemedih mata ke arah penyokong.

Memakai baju putih dan topeng muka, pegawai itu kelihatan tenang ketika hakim menjatuhkan hukuman, yang mana lebih pendek daripada tiga tahun yang diminta oleh pendakwa raya.

Dia mempunyai tujuh hari untuk memfailkan rayuan.

Sejurus kemudian, pegawai polis Malang Bambang Sidik Achmadi, juga dituduh mengarahkan orang bawahannya melepaskan gas pemedih mata, didapati tidak bersalah oleh mahkamah.

Hakim Amsya berkata pertuduhan itu “belum dibuktikan”, dan defendan bebas.

Mahkamah juga mendapati seorang lagi pegawai polis Malang Wahyu Setyo Pranoto tidak bersalah.

Pendakwa raya pada mulanya mendakwa Pranoto mengabaikan peraturan Fifa yang melarang penggunaan gas pemedih mata pada perlawanan bola sepak. – AFP, 16 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen