Speaker diminta siasat dakwaan Wee 'ditekan' atas kenyataan di Parlimen, kata ahli Parlimen


Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong mendakwa beliau didesak untuk menarik semula kenyataannya yang dibuat di Parlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2023.

SPEAKER Dewan Rakyat mesti memulakan siasatan untuk meneliti dakwaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong bahawa beliau didesak untuk menarik semula kenyataannya yang dibuat di Parlimen, kata Johari Ghani.

Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan berkata Speaker Johari Abdul mesti bertindak segera kerana ia menjejaskan kesucian prosiding di Parlimen dan keupayaan ahli Parlimen untuk melaksanakan tugasnya.

“Kenyataan Wee menimbulkan kebimbangan pada pelbagai peringkat,” kata Johari Ghani seperti yang dipetik dalam laporan di FMT.

“Pertama, seorang Ahli Parlimen tidak boleh ditekan oleh mana-mana pihak untuk membuat sebarang kenyataan tanpa rela,” katanya.

“Kedua, tiada pegawai awam atau ahli perniagaan patut membuat sebarang aturan yang direka untuk memberikan tekanan kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk berbuat atau berkata sesuatu,” katanya.

Beliau juga menambah tekanan sebegitu malah boleh menimbulkan potensi kesalahan jenayah.

Semalam Wee yang juga presiden MCA memberitahu Dewan Rakyat beliau diugut oleh seorang individu berhubung kenyataannya mengenai import telur dari India.

Menurutnya beliau menerima panggilan daripada individu itu mendakwa dirinya daripada J&E Advance Tech Sdn Bhd menghubunginya untuk menuntut penarikan balik kenyataan dibuatnya di Parlimen.

Beliau menamakan individu itu sebagai “Deepak”.

Beliau juga berkata individu itu menggunakan nama Pejabat Perdana Menteri (PMO)  dan kemudian diputuskan Wee akan mengeluarkan kenyataan di Parlimen untuk menyelesaikan pertikaian dikatakan timbul daripada kenyataannya sebelum ini.

Sehubungan itu Johari berkata dakwaan pemanggil perbincangan diadakan dengan PMO mungkin merupakan pencerobohan yang menyalahi undang-undang oleh eksekutif ke dalam Parlimen.

“Mungkin juga sama dengan pelanggaran disiplin penjawat awam. Parlimen bertanggungjawab menyiasat perkara ini dan memastikan tindakan yang perlu diambil,” ahli parlimen Umno itu.

PMO sejak itu berkata ia memandang serius dakwaan tidak berasas itu kerana ia menjejaskan kredibilitinya dan kerajaan.

Ia juga berkata mereka tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dalam menggunakan nama PMO.

Dalam perkembangan lain ahli perniagaan Deepak Jaikishan menafikan menghubungi Wee untuk menuntut beliau menarik balik kenyataannya berhubung pengimportan telur dari India.

Dalam satu kenyataan Deepak berkata beliau tidak memiliki nombor telefon Wee sambil beliau akan berunding dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas kenyataan Wee. – 16 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen