THAILAND dan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk memulakan semula rundingan bagi perjanjian perdagangan bebas (FTA) sambil meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua pihak.
Suruhanjaya Eropah dalam satu kenyataan berkata EU serta Thailand berhasrat untuk mewujudkan “FTA yang bercita-cita tinggi, moden dan seimbang, dengan kemampanan sebagai teras”.
“Matlamat FTA ini adalah meningkatkan perdagangan dan pelaburan selain penghapusan halangan kepada perdagangan digital termasuk perdagangan tenaga serta bahan mentah. Dengan itu, menyokong peralihan digital dan hijau.
“Teras perjanjian ini berkisar mengenai kemampanan, dengan disiplin yang mantap serta boleh dikuatkuasakan terhadap perdagangan dan pembangunan mampan (TSD),” katanya.
EU dan Thailand menyasarkan untuk mengadakan pusingan rundingan substantif dalam beberapa bulan akan datang.
Sementara itu Naib Presiden Eksekutif Suruhanjaya Eropah dan Pesuruhjaya Perdagangan Valdis Dombrovskis berkata FTA moden serta dinamik akan memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak selain mengukuhkan hubungan perdagangan EU dengan rantau Indo-Pasifik.
“Saya mengalu-alukan pelancaran semula rundingan perjanjian perdagangan dengan Thailand, yang merupakan ekonomi kedua terbesar di rantau Asean.
“Ia akan meningkatkan skala serta kemampanan perdagangan kami, memacu inovasi termasuk mengukuhkan rantaian bekalan kami. Keterbukaan dalam perdagangan merupakan antara tonggak Pelan Perindustrian Perjanjian Hijau kami, yang bertujuan meningkatkan daya saing global EU,” katanya dalam satu kenyataan.
EU dan Thailand pertama kali melancarkan rundingan untuk FTA pada 2013. Bagaimanapun, ia ditangguhkan berikutan rampasan kuasa tentera di Thailand.
Memandangkan kemajuan Thailand dalam proses pendemokrasian, majlis itu mengemukakan pendekatan penglibatan semula secara beransur-ansur, yang kemundiannya, memuncak apabila Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama dimeterai pada Disember tahun lepas.
Sehingga kini, EU mempunyai FTA dengan dua negara Asean iaitu Singapura dan Vietnam.
EU merupakan rakan dagang keempat terbesar Thailand serta pelabur ketiga terbesar di Thailand, mewakili kira-kira 10 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) di negara itu. – Bernama, 16 Mac, 2023.
Komen