KERETAPI China-Laos seksyen Laos hari ini, melancarkan aplikasi sistem tiket mudah alih dalam talian (LCR Ticket App) yang dibangunkan oleh China Railway melalui China Academy of Railway Sciences.
Aplikasi itu dibangunkan berdasarkan teknologi “Sistem 12306 Kereta Api China” yang canggih, terkini dan selaras dengan peraturan di Laos.
Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti fungsi pendaftaran nama sebenar, pertanyaan baki dan nombor kereta api, pembayaran dalam talian, tempahan semula tiket dan maklumat lain, disediakan dalam tiga bahasa iaitu Laos, Mandarin dan Inggeris.
Selain dilengkapi pelbagai kemudahan, aplikasi itu turut mengambil kira elemen keistimewaan kebudayaan tempatan dan keperluan pelanggan.
Bagi penumpang, maklumat tiket perkhidmatan Kereta Api China-Laos seksyen Laos boleh didapati dan dibeli secara dalam talian pada bila-bila masa selepas mendaftar dalam sistem tiket dengan kad pengenalan atau pasport yang sah.
Malah, sistem itu turut menyokong pelbagai mod pembayaran termasuk melalui VISA, UnionPay, WeChat, dan Alipay.
Untuk menukar tiket yang dibeli secara dalam talian kepada bentuk fizikal, penumpang hanya perlu membawa kad pengenalan atau pasport sebelum memasuki stesen kereta api.
Pengembara boleh memuat turun LCR Ticket App menerusi Apple App Store atau Android App Store. – Bernama, 15 Mac, 2023.
Komen