PAS perlu selesaikan jenayah seksual di negeri mereka, kata Charles


Bekas ahli parlimen Charles Santiago berkata PAS perlu menyelesaikan isu jenayah seksual di negeri mereka dahulu daripada terus menyasarkan komuniti LGBT. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Mac, 2023.

PAS perlu mula mencari jalan penyelesaian isu serius jenayah seksual dan kemiskinan di Kelantan dan Terengganu yang merupakan negeri di bawah pentadbiran mereka daripada terus menyasarkan komuniti LGBT, kata bekas ahli parlimen Charles Santiago.

Beliau berkata baru-baru ini Ketua Hakim Negara mendedahkan jumlah kes penderaan seksual kanak-kanak yang tinggi di Kelantan iaitu sebanyak 59 kes pada 2022.

Bekas ahli Parlimen Klang itu juga berkata 224 jenayah seksual dilaporkan di Kelantan pada 2021.

Tambahnya media juga melaporkan terdapat 51 kes rogol dalam tempoh tujuh bulan pertama 2021 dengan polis berkata ramai mangsa berusia antara 13 & 16 tahun.

Selain itu katanya laporan berita pada 2021 mendedahkan 100% isi rumah Orang Asli di Terengganu hidup di bawah pendapatan garis kemiskinan negara.

Kelantan berada di tempat kedua dengan 83.3% masyarakat peribuminya hidup dalam kemiskinan.

“Daripada mewujudkan pekerjaan untuk mengurangkan kerugian pendapatan dan kenaikan harga makanan, PAS lebih suka menyasarkan golongan minoriti LGBT yang meningkatkan risiko jenayah kebencian dan keganasan terhadap mereka.

“Sudah tiba masanya untuk PAS benar-benar melihat isu pembangunan di negeri-negeri mereka yang turut berdepan peningkatan jenayah seksual,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli parlimen PAS kerap membangkitkan isu LGBT di Parlimen dan sering meminta tindakan diambil terhadap komuniti ini.

Semalam ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor menerima teguran daripada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul kerana menyifatkan perhimpunan Hari Wanita di ibu negara baru-baru ini sebagai himpunan golongan LGBT.

Wan Razali mempersoalkan kerajaan perpaduan kerana membenarkan perarakan LGBT walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata negara tidak akan mengiktiraf status mereka.

“Jadi kenapa ada perarakan LGBT di negara kita seolah-olah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

“Apakah tindakan kerajaan terhadap keperluan untuk memerangi gaya hidup menyimpang ini?” Wan Razali berkata ketika membahaskan belanjawan Kementerian Perpaduan Negara di peringkat jawatankuasa.

Ahli Parlimen DAP Ngeh Koo Ham kemudian menuduh Wan Razali mengelirukan Dewan Rakyat sambil menambah perhimpunan itu adalah perarakan Hari Wanita.

Berikutan itu speaker Johari bertanya kepada Wan Razali sama ada beliau pasti perhimpunan itu disertai oleh komuniti LGBT yang mana kemudiannya beliau menjawab tidak pasti.

Speaker kemudian memintanya menarik semula kenyataan berkenaan. – 15 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen