ANGKA kematian akibat bencana feri di luar pantai Gabon minggu lalu meningkat kepada 21 orang dan usaha mencari diteruskan mengesan 16 orang yang masih hilang, kata pendakwa raya semalam.
Penyelam berjaya menemui mayat 15 lagi mangsa daripada bangkai feri Esther Miracle, kata pendakwa raya Andre Patrick Roponat.
Feri itu berlayar semalamam pada Rabu hingga Khamis minggu lalu dengan membawa 161 penumpang dan anak kapal dari ibu kota Libreville ke bandar minyak Port-Gentil.
Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan 124 orang. Angka kematian sebelum ini menjadikan jumlah kematian kepada enam orang.
Roponat berkata 15 mangsa terbaharu ditemui dalam bot malang itu dan dibawa keluar oleh penyelam.
“Semua memakai jaket keselamatan. Mereka tersangkut di dalam bot,” katanya sambil menambah mayat dibawa untuk pengecaman.
“Pencarian diteruskan,” katanya.
Dua siasatan dibuka dan kerajaan mengumumkan penggantungan empat pegawai sebagai langkah berjaga-jaga.
Pendakwa raya juga berkata terdapat beberapa kes individu ditahan dan juga disoal siasat tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Kebanyakan daripada 124 mangsa yang terselamat diambil dari Libreville selepas subuh pada Khamis oleh penduduk tempatan dengan sampan, nelayan, tongkang minyak dan bot peronda tentera laut. – AFP, 15 Mac, 2023.
Komen