MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini menolak rayuan Sisters In Islam Forum (SIS Forum) untuk membatalkan fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengisytiharkan ia sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran sebenar Islam.
Panel tiga hakim terdiri daripada Has Zanah Mehat, Che Mohd Ruzima Ghazali dan M. Gunalan yang mendengar rayuan itu mencapai keputusan majoriti 2-1.
Keputusan majoriti dicapai oleh Has Zanah dan Che Mohd Ruzima manakala Gunalan menentang.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili SIS Forum untuk menangguhkan pelaksanaan fatwa itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai.
Terdahulu Che Mohd Ruzima yang menyampaikan keputusan majoriti berkata tiada merit dalam rayuan SIS Forum dan mahkamah berpandangan fatwa yang dikeluarkan oleh jawatankuasa itu bukan keputusan muktamad justeru tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.
Beliau berkata peruntukan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntuk fatwa boleh diubah melalui pindaan, modifikasi atau pemansuhan.
“Ini bermakna pemohon boleh pada bila-bila masa memohon responden (Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor) untuk mengkaji semula warta fatwa tersebut sekiranya dapat dibuktikan falsafah dan pegangan mereka tidak terjumlah kepada fahaman liberalisme dan pluralisme,” katanya.
Che Mohd Ruzima juga berkata fatwa itu tidak bercanggah dengan Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Fatwa yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014 itu, mengisytiharkan SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Ia turut mengarahkan mereka supaya bertaubat dan kembali kepada ajaran sebenar Islam.
Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas selain meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menapis laman sesawang sosial yang bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.
Gunalan pula memutuskan Mahkamah Tinggi terkhilaf menolak permohonan semakan kehakiman SIS Forum pada 27 Ogos 2019 kerana fatwa itu tidak terpakai kepada organisasi tersebut. – Bernama, 14 Mac, 2023.
Komen