SEORANG kanak-kanak perempuan tiga tahun tidak sengaja menembak mati kakaknya yang berusia empat tahun ketika bermain dengan sepucuk pistol di rumah mereka di Houston, Texas di Amerika Syarikat (AS).
Kejadian pada Ahad itu berlaku ketika lima orang dewasa termasuk ibu dan bapa kanak-kanak itu berada dalam rumah, kata polis.
“Mangsa ditembak dengan pistol separa automatik,” kata Sheriff Harris County Ed Gonzalez, menambah kanak-kanak itu ditembak secara tidak sengaja oleh adiknya.
Menurut Gonzalez mangsa ditemui tidak sedarkan diri di atas lantai bilik tidur oleh ibu bapanya selepas mendengar bunyi tembakan.
Kejadian tembakan melibatkan kanak-kanak dapat dielakkan jika senjata disimpan rapi, tegasnya.
Kira-kira 40% isi rumah di AS mempunyai senjata api, menurut kajian Pew Research Center, tetapi separuh daripadanya disimpan dengan selamat.
Sementara itu menurut data Arkib Keganasan Senjata punca utama kematian membabitkan kanak-kanak bawah 18 tahun adalah disebabkan oleh insiden tembakan. Hampir 1,700 kes melibatkan golongan itu, termasuk 314 kes adalah kanak-kanak bawah 11 tahun.
Senjata paling mudah di dapati di Texas yang mempunyai 30 juta penduduk. – AFP, 14 Mac 2023.
Komen