Pengimport telur ancam saman Azmin atas dakwaan rundingan terus


Alfian Z.M. Tahir

J&E Advance Tech Sdn Bhd menafikan dakwaan pemimpin Bersatu, Azmin Ali bahawa mereka menerima kontrak untuk mengimport telur melalui rundingan terus daripada kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Mac 2023.

J&E Advance Tech Sdn Bhd menafikan dakwaan pemimpin Bersatu, Azmin Ali bahawa mereka menerima kontrak untuk mengimport telur melalui rundingan terus daripada kerajaan.

Syarikat tempatan itu dalam satu kenyataan menyifatkan kenyataan bekas ahli Parlimen itu sebagai tidak benar dan sebagai percubaan untuk mengelirukan orang ramai.

Syarikat itu menambah mereka sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap ketua penerangan Perikatan Nasional (PN) itu.

“Kami ingin menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Azmin Ali semasa berucap pada Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman anjuran PN di Dewan Dato’ Ustaz Fadzil Noor Taman Melewar, Kuala Lumpur pada 11 Mac 2023 .

“J&E Advance Tech Sdn Bhd tidak pernah diberikan sebarang rundingan langsung oleh kerajaan Malaysia dan J&E Advance Tech Sdn Bhd tidak pernah menjual atau menawarkan untuk menjual telur yang diimport dari India kepada kerajaan Malaysia atau mana-mana agensi berkaitan kerajaan/syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Kenyataan itu direka untuk mengelirukan masyarakat umum bagi mengaburi kes jenayah yang difailkan terhadap presiden partinya Muhyiddin Yassin oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.  

Bagaimanapun syarikat itu berkata mereka mengimport telur sebagai langkah sementara untuk membekalkan kepada pasar raya besar tempatan, pasar raya dan pasar mini semasa musim perayaan dari Disember 2022 hingga Jun 2023.

“Syarikat dengan ini menuntut Azmin membuat ganti rugi yang perlu dengan membuat dan mengeluarkan kenyataan pembetulan yang berkaitan secara bertulis kepada kami dan dalam platform media sosial yang kerap digunakan dalam tempoh 72 jam dari tarikh ini, kami akan meneruskan untuk memulakan tindakan undang-undang terhadapnya,” katanya.

Sebelum ini Azmin mendakwa kerajaan memberikan kontrak mengimport telur melalui rundingan terus.

Walaupun Azmin tidak menamakan syarikat itu beliau mendakwa kontrak itu diberikan kepada peniaga permaidani Deepak Jaikishan. – 13 Mac 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen