2 bot karam di California, 8 maut


Sekurang-kurangnya lapan terbunuh apabila dua bot yang disyaki penyeludup terbalik di pantai selatan California. – Gambar AFP, 13 Mac, 2023.

SEKURANG-KURANGNYA lapan terbunuh apabila dua bot yang disyaki penyeludup terbalik di pantai selatan California, kata penyelamat.

“Seramai lapan terkorban akibat kejadian itu.

“Ia antara tragedi penyeludupan maritim paling teruk yang saya rasakan di California dan pastinya untuk bandar San Diego sendiri,” kata Ketua Penyelamat bandar San Diego James Gartland, pada sidang media.

Bagaimanapun, tidak jelas punca sebenar kemalangan di kawasan yang disifatkan Gartland sebagai berbahaya disebabkan jeriji pasir dan arus kuat di pantai.

Beliau berkata seorang individu menghubungi talian kecemasan 911 dan bercakap dalam bahasa Sepanyol, tengah malam Sabtu lalu, berkata terdapat kira-kira 23 orang di dalam dua bot kecil dengan lapan dalam bot lain dan 15 lagi di bot lain, terbalik di pantai Torrey Pines di San Diego, sebuah bandar berhampiran sempadan Mexico.

Gartland berkata pasukan penyelamat tidak menemui mangsa terselamat, namun dipercayai ada yang mungkin meninggalkan pantai sebelum pasukan tiba di tempat kejadian.

Katanya, semua yang maut adalah dewasa dan setakat ini masih tiada butiran lanjut mengenai kewarganegaraan mereka.

Sebilangan besar pendatang dari Amerika Selatan dan Tengah melintasi sempadan AS secara rahsia, sering mengambil risiko besar dengan harapan untuk sampai ke negara terbabit. – AFP, 13 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen