Korea Utara lancar dua peluru berpandu jelajah dari kapal selam


Korea Utara menguji dua peluru berpandu jelajah strategik dari sebuah kapal selam menjelang latihan ketenteraan Amerika Syarikat-Korea Selatan akan datang. – Gambar AFP, 13 Mac, 2023.

KOREA Utara memaklumkan pihaknya menguji dua “peluru berpandu jelajah strategik” dari sebuah kapal selam menjelang latihan ketenteraan Amerika Syarikat-Korea Selatan akan datang, lapor Sputnik memetik agensi berita Yonhap.

Peluru berpandu itu dilancarkan dari kapal selam Yongung 8.24 pada pagi semalam, Yonhap memetik Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Peluru berpandu itu dilaporkan mengenai sasaran di Laut Jepun selepas “merentasi perjalanan sejauh 1,500 kilometer (932 batu) selama 7,563 hingga 7,575 saat”, menurut KCNA.

Latihan itu mengesahkan kebolehpercayaan sistem senjata baharu  dan “mengesahkan postur operasi semasa pencegahan perang nuklear”.

Sementara itu, tentera Korea Selatan pada Isnin mendakwa Korea Utara melancarkan satu peluru berpandu yang tidak dikenali dari sebuah kapal selam, lapor Yonhap.

Peluru berpandu itu dilancarkan semalam dari bandar pantai timur Korea Utara Sinpo, kata Ketua Staf Bersama Korea Selatan (JCS).

“Sambil memperkukuh kesiapsiagaan dan pemantauan, tentera kita mengekalkan postur kesediaan penuh dengan kerjasama erat dengan Amerika Syarikat,” menurut JCS dalam satu kenyataan. – Bernama, 13 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen