Ribuan berhimpun di Athens susulan insiden rempuhan kereta api


Peserta perhimpunan di Athens pada Ahad menuntut siasatan terhadap punca insiden pertembungan dua kereta api baru-baru ini yang mengorbankan 57 orang. – Gambar AFP, 13 Mac 2023.

RIBUAN penunjuk perasaan berkumpul di tengah-tengah Athens pada Ahad akibat pertembungan dua kereta api baru-baru ini yang mengorbankan 57 orang, lapor Sputnik.

Rempuhan membabitkan kereta api penumpang dengan kereta api barang berhampiran bandar Larissa di Greece pada 1 Mac lalu.

Menurut laporan, landasan kereta api penumpang telah beralih ke lorong kereta api barang sebelum kemalangan itu, lalu mengakibatkan perlanggaran secara langsung.

Susulan insiden itu, ketua stesen Larissa telah ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua stesen berkenaan dilaporkan mengakui tersalah menukar laluan kereta api penumpang.

Sementara itu, pekerja kereta api pula mendakwa isu keselamatan kronik telah diabaikan oleh pihak berkuasa selama bertahun-tahun.

Kerajaan Greece berikrar untuk menyiasat sepenuhnya punca malapetaka itu.

Kebanyakan penunjuk perasaan memenuhi Dataran Syntagma Athens pada Ahad.

Peserta perhimpunan menuntut siasatan terhadap punca insiden kereta api itu.

Mogok umum yang akan berlangsung pada 16 Mac telah diumumkan pada protes itu.

Pihak berkuasa meningkatkan langkah keselamatan di tengah Athens kerana perhimpunan itu.

Protes besar-besaran berhubung insiden kereta api itu juga berlaku di bandar-bandar lain di Greece. – Bernama, 13 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen