30 pendatang hilang, bot karam di luar Libya


Bencana terbaru membabitkan pendatang di Mediterranean berlaku dua minggu selepas kapal karam di pantai selatan Itali Calabria yang mengorbankan 76 pendatang, dengan mayat terus terdampar hampir setiap hari. – Gambar AFP, 13 Mac, 2023.

KIRA-KIRA 30 pendatang hilang, dipercayai lemas selepas bot sesak yang mereka naiki terbalik ketika percubaan menyelamat oleh sebuah kapal kargo di lepas pantai Libya, kata pengawal pantai Itali, semalam.

Pegawai pantai berkata seramai 17 pendatang diselamatkan dan pencarian diteruskan bagi menyelamatkan mereka yang hilang selepas operasi menyelamat awal pagi di zon mencari dan menyelamat Libya dilakukan.

“Ketika pemindahan operasi menyelamat, bot itu terbalik dengan 17 diselamatkan manakala kira-kira 30 pendatang hilang,” katanya.

Bencana terbaharu di Mediterranean berlaku sejurus dua minggu selepas kapal karam di pantai selatan Itali Calabria yang mengorbankan sekurang-kurangnya 76 pendatang, dengan mayat terus terdampar hampir setiap hari.

Insiden kapal karam itu meletakkan kerajaan sayap kanan Itali yang diketuai Perdana Menteri Giorgia Meloni dalam keadaan defensif kerana terpaksa menangkis kritikan tajam berhubung dakwaan gagal campur tangan dalam usaha menyelamatkan pendatang.

Kegagalan usaha semalam membuatkan ramai menuding jari mengenai siapa yang harus dipersalahkan ekoran kematian walaupun semakin ramai pendatang melakukan perjalanan berbahaya menempuh laut Mediterranean Tengah menuju ke pantai Itali.

Rom sekian lama mengadu kepada rakan kongsi Kesatuan Eropah (EU) mengenai beban ditanggungnya berdepan puluhan ribu pendatang yang ingin ke Eropah dengan bot setiap tahun.

Sebuah pesawat pengawasan badan bukan kerajaan (NGO) Jerman, SeaWatch yang turut menyaksikan bot itu melaporkan bot terbabit membawa muatan berbahaya dan sesak dalam keadaan ombak mengganas. – AFP, 13 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen