Anwar memikul beban sejarah


Mohd Azizi Jaeh

Sejauh manakah fenomena Anwar Ibrafim boleh bertindak selaku 'pemain utama' bersama pasukannya dalam menstabil dan mengekalkan ketahanan kerajaan untuk jangka masa sepenggal? – Gambar fail The Malaysian Insight, 133 Mac 2023.

SEHINGGA kini warga Malaysia masih ternanti-nanti anjakan perubahan yang pernah Anwar Ibrahim janjikan tidak berapa lama dahulu. Usia pentadbirannya kini telah melewati angka 100 hari.

Pencabar, penyokong dan pengulas politik meletakkan pelbagai penilaian markah, gred dan skor sebagai pengukur prestasi. Bukan setakat memandang pelaksanaan dan pengenalan polisi, tetapi lebih penting menjadi first impressions atau tanggapan pertama masyarakat awam tentang pencapaian kerajaan madani.

Sejauh manakah fenomena Anwar boleh bertindak selaku ‘pemain utama’ bersama pasukannya dalam menstabil dan mengekalkan ketahanan kerajaan untuk jangka masa sepenggal?

Mungkin faktor ‘X’ dan imej populis memberi sedikit kekuatan untuk Anwar menyerap ‘bebanan politik’ daripada legasi pentadbiran terdahulu. Namun, kenyataan ini boleh diandaikan tidak mempunyai merit yang kukuh.

Begitu juga dengan publisitinya di media sosial – followers Anwar di akaun Facebook dan Instagram miliknya bertambah sejak menduduki kerusi Perdana Menteri, dianggarkan kira-kira 1 juta orang. Ini juga bukan ukuran penanda yang menentukan kepuasan hati rakyat.

Jika bersandarkan track record dan pengalamannya diiktiraf sebagai menteri kewangan terbaik Asia pada 1996 sebenarnya pun masih tidak cukup; hakikatnya, Anwar telah lama meninggalkan lapangan pengurusan dan menanggalkan ‘baju seragam’ sebagai pentadbir.

Realiti pengurusan 90-an dengan keadaan selepas 24 tahun kini amat berbeza. Jika dulu Anwar mewakili perjuangannya selaku ‘Putera Mahkota’ Umno (memetik ungkapan tokoh wartawan A Kadir Jasin), sedangkan kini Anwar memakai lencana sebuah parti reformasi.

Sebetulnya Anwar mempunyai beberapa penanggungan beban yang mungkin menyebabkan langkah melakukan perubahan substantif dalam politik Malaysia perlu dilakukan secara tertib, perlahan-lahan dan cukup berhati-hati. Lebih penting tidak kelihatan terlalu radikal yang boleh mendatangkan persepsi negatif dalam kalangan anggota pentadbiran awam.

Badi

Badi 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) perlu dilenyapkan sama sekali oleh Anwar!

Antara beban dipikul adalah ingatan orang Melayu terhadap pentadbiran PH yang dianggap ‘tidak mesra’ Melayu. Kewibawaan PH hampir sahaja dimusnahkan dan dihancurkan.

Bukan satu tugas mudah untuk memulihkan semula keyakinan masyarakat Melayu, bahkan graf sokongan Melayu semakin meleset dalam PRU ke-15 meskipun Anwar bernasib baik diangkat menjadi Perdana Menteri.

Apatah lagi kepesatan teknologi komunikasi menghamparkan bentuk satira sebagai saluran kritikan bagi orang ramai – beberapa suntingan video pendek misalnya yang diselang seli dengan cara sindiran dan lawak jenaka tersebar luas di ruangan maya sebagai reaksi ke atas Anwar yang masih tidak mengotakan janji menurunkan harga minyak.

Tampaknya Anwar perlu berusaha lebih keras menunaikan janjinya kepada rakyat. Janji yang realistik bukan populis sesuai dengan semangat islah yang dibawanya.

Pentadbiran awam

Dengan mengambil kira faktor ketidakstabilan Umno (yang kini merupakan rakan strategik), cabaran sengit daripada blok pembangkang dan perubahan tadbir urus dalam sektor awam – memerlukan Anwar menanganinya dengan cermat dan penuh taktikal.

Silap perhitungan dan langkah boleh menjurus keberantakan kerajaan perpaduan. Demi ‘menjaga hati’ semua parti gabungan setiap keputusan mungkin mengikat, ada syarat dikenakan serta mengambil masa untuk dipertimbangkan.

Misalnya beberapa jawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun masih belum diisi.

Terdapat tuntutan kumpulan pendesak agar kerajaan tidak melantik orang politik dalam GLC demi mengukuhkan sokongan. Namun, ia bukan perkara baharu malah menjadi common sense berpuluh tahun amalan pentadbiran terdahulu yang sukar untuk dirombak.

Kesetiaan kepada bekas pentadbiran lama dalam kalangan pentadbir sudah tertanam kukuh. Tidak hairan segelintir mereka mungkin bersikap anti reform dan tidak bersedia dengan perubahan. Mengubah budaya pengurusan kepada amalan tatakelola yang baik merupakan cabaran besar buat Anwar.

Begitulah sulitnya meruntuhkan sistem yang lama pincang, tetapi lebih sukar untuk melakukan pembinaan semula. Realitinya perubahan tidak mengambil masa satu malam!

Kerana sekian lama wujudnya jaringan yang menghubungkan parti politik dengan badan pentadbiran awam serta sektor perniagaan. Rangkaian hubungan ini walaupun bukan formal namun sudah terbiasa dengan kecacatan amalan tadbir.

Kegiatan pemberian tender secara rundingan terus, salah guna kuasa kelulusan serta mendapatkan dana politik bagi kegunaan peribadi kebanyakannya tidak mengikut tatacara prosedur.

Memerangi rasuah yang telah menjadi sistematik ketika ini merupakan keutamaan dalam meneruskan pembaharuan yang tergendala.

Cabaran daripada pembangkang

Membanteras rasuah dengan melakukan pendakwaan mahkamah kepada tokoh high profile pastinya akan mengundang sasaran kritikan dan cemuhan.

Janji untuk tidak menganiaya, menzalimi dan menekan seteru politik adalah beban sebenar dipikul Anwar. Beliau pernah dipenjarakan ketika di luar kerajaan. Namun, situasi ketika ini beliau berada pada kedudukan Perdana Menteri yang hakikatnya terpaksa berdepan ujian mengurus persepsi bila mana kes melibatkan ahli politik ternama.

Pendakwaan yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin beberapa hari lalu dianggap berisiko untuk kerajaan, manakala dikatakan berniat jahat oleh penentangnya iaitu Perikatan Nasional.

Suatu masa dahulu Anwar menjaja cerita bahawa penjara telah mengajarnya apa erti derita, kezaliman dan pendakwaan terpilih. Seluruh warga sedang memerhatikan tindak tanduknya untuk tidak mengulangi sejarah yang telah menimpanya dulu.

Ini semua adalah rakaman zaman. Setiap yang tercetus adalah pusingan dan kitaran kehidupan. Tetapi janganlah dulu orang buat pada kita, sekarang kita pula buat pada orang.

Beban Anwar adalah untuk melepaskan diri daripada bayangan pentadbiran lampau.

Namun, Anwar telah menangani persepsi ini dengan ungkapan “saya dipukul setengah mati [dalam tahanan], saya maafkan kerana itu soal peribadi, tapi wang yang dicuri berbilion-bilion, saya tiada kuasa maafkan.”

Jika benarlah komitmennya, Anwar sudah membayar harga yang cukup mahal untuk menentang rasuah. Tentulah beliau tidak mudah melepaskan peluang hanya kerana cemuhan jelik dan aib yang dilemparkan oleh pengkritiknya.

Adakah Anwar akan melihat kemunculan ‘gelombang penentangan’ besar-besaran semasa pentadbirannya kali ini?

Jika dahulu beliau mencetuskan gelombang Reformasi sehingga menggegar struktur politik Malaysia, adakah kali ini seterunya mampu mencipta gelombang massa (Gelombang Abah)?

Begitupun penulis beranggapan untuk mengatasi gerakan Reformasi masih tidak mempunyai asas yang kukuh (berdasarkan kehadiran peserta yang menyokong dan tunjuk perasaan di mahkamah).  Mungkin terlalu awal untuk melihat impaknya.

Jika Anwar dapat menyempurnakan agenda reform, maka inilah pusaka warisan yang akan diturunkan kepada generasi penerus. Jika gagal projek reform ia akan menjadi polemik yang boleh menggugat kewibawaan kerajaan madani. Pendek kata, Anwar telah tewas dalam perjuangannya untuk mengislahkan Malaysia.

Apalah erti negara dipimpin bapa reformasi jika sekadar menggantikan si X dengan si Y, tetapi karakternya masih tetap sama. – 13 Mac, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen