ISTERI Donald Trump Jr, anak lelaki sulung presiden AS memfailkan penceraian semalam di New York, menurut laporan beberapa media Amerika Syarikat.
Vanessa Trump berkahwin dengan Donald Jr pada November 2005. Pasangan dalam lingkungan usia 40-an itu mempunyai lima orang anak berusia antara tiga hingga 10 tahun.
Menurut beberapa laporan media, bekas model itu memfailkan penceraian yang tidak dicabar, bermakna proses penceraian tidak akan melibatkan perubatan hak penjagaan anak dan pengagihan aset.
Organisasi Trump tidak menjawab pertanyaan AFP tentang penceraian itu.
Beberapa minggu lepas, akhbar tabloid The New York Post melaporkan hubungan pasangan itu bermasalah disebabkan Donald Jr yang kerap mengembara dan seperti ayahnya asyik dengan media sosial Twitter.
Pertengahan Februari lalu, isterinya, yang selalu mengelak daripada menjadi tumpuan media menjadi tumpuan dunia selepas dia tidak sengaja membuka surat ditujukan kepada suaminya yang mengandungi serbuk putih.
Serbuk itu tidak merbahaya, tetapi Vanessa Trump dimasukkan ke hospital sebagai langkah pencegahan bersama-sama ibunya yang turut berada bersamanya ketika dia membuka surat itu.
Pada 1 Mac lalu, seorang lelaki berusia 24 tahun dari Massachusetts ditahan dan didakwa kerana menghantar ugutan dan serbuk itu. – AFP, 16 Mac, 2018.
Komen