Tentera Israel tembak mati 3 lelaki bersenjata Palestin


Kesan darah di tanah berhampiran persimpangan Jit di barat Nablus di utara Tebing Barat yang diduduki selepas tentera Israel menembak mati tiga lelaki bersenjata Palestin hari ini. – Gambar AFP, 12 Mac 2023.

TENTERA Israel hari ini menembak mati tiga lelaki Palestin bersenjata yang didakwa melepaskan tembakan ke arah tentera di Tebing Barat yang diduduki, kata pasukan keselamatan itu.

Ia pertumpahan darah terbaharu dalam gelombang keganasan yang berlanjutan selama setahun di rantau itu.

Tentera Israel berkata, seorang lelaki bersenjata menyerah diri dan sudah ditahan.

Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan tiga individu terbunuh berhampiran bandar Nablus, bagaimanapun identiti mereka belum dipastikan.

Tragedi berdarah itu menjadikan jumlah penduduk Palestin yang terbunuh sejak awal tahun ini meningkat kepada 80 orang, ketika Israel memperluaskan serbuan di Tebing Barat.

Keganasan baharu itu tercetus susulan serbuan tentera Israel minggu lalu di perkampungan Jaba, dekat Tebing Barat, yang mana tiga pejuang Palestin terbunuh.

Beberapa jam kemudian, seorang lelaki Palestin melepaskan tembakan ke arah laluan Tel Aviv yang sibuk pada permulaan hujung minggu, mengakibatkan tiga individu cedera, sebelum dia ditembak dan terbunuh.

Peningkatan keganasan yang berlaku ketika ini antara yang terburuk di antara Israel dan Palestin di Tebing Barat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia bermula pada musim bunga lalu selepas beberapa siri serangan Palestin terhadap Israel yang mencetuskan serbuan hampir setiap malam oleh Israel di Tebing Barat.

Menurut kumpulan hak asasi terkemuka Israel, B’Tselem, hampir 150 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis tahun lalu, yang juga kes kematian tertinggi di kawasan itu sejak 2004. – AFP, 12 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen