DUA rentung selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbakar selepas merempuh belakang lori kontena di Kilometer 108.7 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) di Temerloh, Pahang awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata pihaknya menerima maklumat pada jam 5.22 pagi dan kedua-dua mangsa didakwa terperangkap selepas kenderaan itu tersangkut di belakang lori kontena.
“Kejadian dipercayai berlaku selepas kenderaan pacuan empat roda hilang kawalan lalu merempuh lori kontena. Pemandu lori kontena memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan apabila menyedari kemalangan berlaku,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Azhar berkata tiada pengenalan diri ditemukan pada mangsa, namun pihaknya percaya kedua-dua mangsa lelaki berusia 24 tahun berdasarkan keterangan awal daripada waris.
Mayat dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Azhar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi talian 09-2716086 atau pengawai penyiasat trafik ibu pejabat polis daerah Temerloh Thuvanesvari, 018-9724346 bagi membantu siasatan. – Bernama, 12 Mac, 2023.
Komen