Bersatu berjaya ganti Umno untuk orang Melayu, kata Muhyiddin


Mohd Farhan Darwis

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata Bersatu berjaya menggantikan Umno apabila muncul menjuarai sokongan orang Melayu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 Mac, 2023.

UMNO sekarang di hujung hayatnya dalam memperjuangkan hak orang Melayu selepas memilih bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Bersatu sebaliknya kata ahli Parlimen Pagoh itu berjaya menggantikan Umno apabila muncul menjuarai sokongan orang Melayu, menang 31 kerusi Parlimen berbanding 26 kerusi yang dimenangi oleh Umno.

“Sekarang, parti kita lebih besar daripada Umno dalam tempoh hanya tujuh tahun, Bersatu berjaya mengatasi Umno yang kini telah menjangkau usia 77 tahun. Kita bukan lagi ular lidi dan Umno bukan lagi naga. 

“Umno tidak lagi menjadi parti yang boleh diharapkan untuk menggalas amanah ini. Umno kini menjadi parti minoriti dalam gabungan politik yang didominasi oleh PH, apa lagi yang boleh diharapkan daripada Umno.

“Bagi kita dan sebahagian besar orang Melayu, inilah pengakhiran hayat Umno,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung tahunan Bersatu di Kuala Lumpur, hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, Umno telah lari daripada matlamat perjuangan asal membela nasib orang Melayu kepada membela kedudukan individu tertentu.

“Demokrasi juga telah mati dalam parti Umno, Perlembagaan parti dilanggar sebegitu rupa semata-mata untuk menjaga kepentingan seorang individu. Tujuan parti itu juga telah berubah daripada menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, kepada menjaga kepentingan individu.

“Individu ini juga dilindungi oleh pucuk pimpinan kerajaan PH demi kepentingan untuk mempertahankan kuasa PH, individu ini mesti dipastikan terus menguasai Umno kerana dengan penguasaan individu ini ke atas Umno lah, maka PH akan terus berkuasa,” kata Muhyiddin. – 12 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen