SEBUAH kumpulan hak asasi manusia mendakwa tentera kerajaan membunuh sekurang-kurangnya 21 orang awam dalam serbuan di sebuah kampung di utara Burkina Faso.
Kanak-kanak adalah antara yang terbunuh apabila lebih 100 penyerang menembak dan menyeksa mangsa, kata NGO itu.
Serangan itu berlaku sekitar 9 pagi Rabu lepas dengan “dakwaan penyeksaan dan hukuman mati di luar undang-undang terhadap orang awam”, kata NGO itu.
“Suspek yang melakukan pembunuhan beramai-ramai ini dipercayai merupakan pasukan pertahanan dan keselamatan serta Sukarelawan untuk Pertahanan Tanah Air (VDP),” kata kumpulan hak asasi manusia itu pada Jumaat.
Ditubuhkan pada Disember 2019, VDP terdiri daripada sukarelawan awam yang diberi latihan ketenteraan selama dua minggu sebelum bekerja bersama tentera.
Angka kematian dilaporkan 20 orang termasuk seorang wanita dan tiga kanak-kanak, kata NGO itu.
“Tujuh wanita dilaporkan cedera dan tiga orang hilang,” katanya semalam.
NGO itu berkata lebih 100 anggota berpakaian tentera memasuki kampung itu menaiki “trak pikap dan motosikal” sebelum menembak mangsa.
Seorang penduduk berkata anggota kampung itu disyaki bekerjasama dengan pengganas bersenjata.
Jurucakap kerajaan tidak segera menjawab tuduhan itu.
CISC menggesa siasatan kehakiman bebas.
Bulan lalu NGO menuduh tentera membunuh sekurang-kurangnya 25 orang awam di timur negara itu dan menggesa siasatan dijalankan. Kerajaan berkata mereka sudah melancarkan siasatan.
Burkina Faso yang merupakan salah sebuah negara termiskin di dunia sudah memerangi pemberontakan jihad sejak 2015.
Lebih 10,000 orang awam, tentera dan polis terbunuh manakala lebih dua juta orang meninggalkan rumah mereka, menurut anggaran NGO.
Ibrahim Traore, kapten tentera yang merampas kuasa hampir enam bulan lalu dan kini pemangku presiden menegaskan keazamannya untuk memerangi pejuang jihad. – AFP, 12 Mac, 2023.
Komen