SEKUMPULAN wartawan cedera parah dalam kejadian letupan bom di utara Afghanistan semalam, yang turut menyebabkan seorang pengawal keselamatan terbunuh, kata polis.
Kejadian semasa acara meraikan media Afghanistan di sebuah pusat kebudayaan di Mazar-i-Sharif itu juga mencederakan beberapa orang kanak-kanak.
Ia berlaku dua hari selepas insiden serangan bunuh diri yang meragut nyawa gabenor di wilayah Balkh utara pada Khamis. Serangan ke atas Mohammad Dawood Muzammil itu adalah pembunuhan pertama membabitkan pegawai berpangkat tertinggi sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021.
Lima wartawan antara yang cedera dalam letupan semalam, kata polis.
“Saya dengar bunyi letupan… kemudian keadaan terus jadi huru-hara kerana semua orang berlari untuk menyelamatkan diri,” kata seorang wartawan, Atif Arian yang turut cedera.
Beberapa orang wartawan cedera parah, tambahnya.
Arian berkata kejadian berlaku ketika sekumpulan kanak-kanak sedang membuat persembahan nyanyian selepas seorang pegawai Taliban berucap.
“Kejadian semasa acara menghargai wartawan satu tindakan keji dan pengecut.
“Kerajaan Taliban mesti segera menyiasat, bawa pelaku ke muka pengadilan dan hukum mereka yang mensasarkan wartawan,” kata Beh Lih Yi, pengarah program Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) Asia.
Tiada kumpulan atau individu mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu setakat ini. – AFP, 12 Mac 2023.
Komen