PIHAK berkuasa Indonesia kini semakin agresif memburu individu dan kumpulan tertentu yang terbabit menyebarkan berita palsu, yang dilihat cuba memecahbelahkan masyarakat dan menimbulkan kekacauan menjelang pilihan raya Presiden Indonesia tahun depan.
Terbaru, beberapa individu ditahan, yang dipercayai anggota kumpulan Tentera Siber Islam (MCA), yang menggunakan aplikasi Facebook, WhatsApps, Instagram dan Twitter, menyerang kerajaan, menyebarkan politik kebencian serta mencetuskan ekstremisme agama.
Sejak 26 Februari lepas, enam anggota MCA telah ditahan, dan Polis Indonesia masih memburu anggota kumpulan itu yang dipercayai aktif di seluruh Indonesia.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Indonesia, Ari Dono Sukmanto berkata berdasarkan siasatan, kumpulan itu juga menggunakan media sosial dalam menyebarkan isu provokatif, mencemarkan nama baik presiden Indonesia dan tokoh-tokoh tertentu.
Peraturan Perundangan di Indonesia menetapkan bahawa mereka yang didapati bersalah menyebarkan berita palsu boleh dikenakan hukuman penjara dan denda.
Mengikut Undang Undang Nombor 11 Tahun 2008 berkenaan Informasi dan Transaksi Elektronik (Pasal 14), mereka yang didapati bersalah menyiar dan menyebarkan berita palsu boleh dikenakan denda maksimum 10 tahun penjara dan denda maksimum Rp1 milliar (RM1 juta). – Bernama, 15 Mac, 2018.
Komen