Wanita PH Kelantan sasar 5 kerusi PRN


Wanita Pakatan Harapan Kelantan mahu bertanding sekurang-kurangnya lima kerusi pada PRN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Mac, 2023.

WANITA Pakatan Harapan (PH) Kelantan menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata timbalan ketuanya Hafidzah Mustakim.

Beliau berkata ini memandangkan mereka memiliki ramai wanita berpotensi untuk menjadi pemimpin selain memiliki latar belakang yang hebat dari segi pendidikan.

“Pencapaian kaum wanita di negara ini tidak boleh disangkal lagi dari segi perubatan, pendidikan serta ekonomi dan kami sangat yakin apabila kaum wanita diberi peluang untuk bertanding pada PRN, ia akan memberi impak positif kepada masyarakat.

“Justeru, kami harap wanita PH Kelantan akan diketengahkan kerana kita mempunyai calon yang berpotensi bukan sahaja untuk parti malah untuk rakyat juga,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang PH bersama media, di Kota Bharu hari ini.

Beliau yang juga ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Kelantan bagaimanapun berkata keputusan mengenai senarai calon yang akan bertanding pada PRN nanti masih dalam perbincangan pucuk pimpinan tertinggi. – Bernama, 11 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen