TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dalam satu kenyataan hari ini, Tunku Ismail berkata keputusan itu diambil susulan ranking skuad kebangsaan Malaysia jatuh tiga anak tangga yang menurutnya merupakan satu kegagalan yang amat besar.
“Baru-baru ini ranking pasukan kebangsaan telah jatuh 3 anak tangga dan ini merupakan satu kegagalan yang amat besar!
“Oleh itu, saya rasa Presiden FAM harus letak jawatan,” kata Tunku Ismail.
Tunku Ismail turut berkata sepanjang menjadi Presiden FAM, beliau telah memperbetulkan struktur bola sepak negara, menarik penaja serta menyediakan pelan jangka panjang untuk sukan bola sepak Malaysia seperti mengadakan kerjasama bersama LaLiga.
“Saya juga telah memperjuangkan hak penyiaran untuk kesemua pasukan bertanding di Liga Malaysia bagi meningkatkan kestabilan kewangan.
“Ini adalah satu sejarah dalam bola sepak tanah air apabila buat pertama kalinya setiap pasukan bertanding telah menerima sebanyak RM1 juta hingga RM3 juta setahun untuk wang hak penyiaran dimana setiap pasukan tidak lagi menggunakan duit rakyat daripada Kerajaan.”
Sepanjang Tunku Ismail memegang jawatan Presiden FAM, skuad B23, B19 dan B16 berjaya melakar sejarah apabila buat pertama kalinya mewakili Malaysia dalam pertandingan peringkat tertinggi di Asia.
Tunku Ismail juga mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepadanya semasa menjadi presiden.
“Terima kasih untuk segala-galanya dan ia telah menjadi satu penghormatan untuk berkhidmat kepada bolasepak Malaysia. Selamat maju jaya.
“Kepada seluruh Bangsa Johor yang saya sayangi dan juga kepada para penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di seluruh dunia serta isteri dan anak-anak saya… Daddy’s home!” kata Tunku Ismail dalam kenyataan tersebut.
Tunku Ismail dilantik sebagai presiden FAM pada 25 Mac tahun lalu. – 15 Mac, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Anak Malaysia · Ulasan