Ford bakal berhentikan 1,100 pekerja di Sepanyol


Kira-kira 1,100 pekerja di kilang Ford di Valencia, Sepanyol dijangka diberhentikan dalam usaha menyusun semula operasinya di Eropah. – Gambar AFP, 11 Mac, 2023.

PENGELUAR kereta Amerika Syarikat (AS), Ford akan menamatkan perkhidmataan kira-kira 1,100 pekerja di kilangnya di Valencia, Sepanyol dalam usaha menyusun semula operasi di Eropah.

Pemberhentian itu susulan rancangan kilang untuk menghentikan pengeluaran model S-Max dan Galaxy pada April, kata jurucakap Ford.

“Kira-kira 1,100 pekerja terbabit,” katanya, sambil menambah Ford akan bekerja secara konstruktif dengan kesatuan sekerja untuk mengurangkan kesan pemberhentian ke atas pekerja, keluarga mereka dan masyarakat setempat.

Bagaimanapun, Menteri Perindustrian Sepanyol Reyes Maroto berkata pemberhentian pekerja yang dirancang sangat membimbangkan.

“Saya ingin menjelaskan bantuan awam yang diberikan kerajaan untuk membolehkan peralihan ke arah mobiliti elektrik, bergantung pada mengekalkan pekerjaan,” katanya kepada radio Cadena Ser.

Ford menyatakan minat untuk menerima dana itu dengan syarat dalam rangka pelan pemulihan ekonomi Eropah.

Bulan lalu, Ford membuang 3,800 pekerja di beberapa kilangnya di Eropah, termasuk 2,300 di Jerman dan 1,300 di Britain.

Pemberhentian itu yang mewakili kira-kira 10% pekerjanya di Eropah, menjejaskan pembangunan produk dan fungsi pentadbiran, bukan kedudukan pembuatan.

Ford berkata matlamatnya adalah untuk mewujudkan struktur kos lebih kompetitif dan membolehkannya mengurangkan bilangan model yang dibangunkan untuk pasaran Eropah, menumpukan pada segmen van yang menguntungkan dan mempercepatkan peralihan kepada kenderaan elektrik. – AFP, 11 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen