KANADA mengumumkan larangan import produk aluminium dan keluli Russia, sebagai usaha menyekat pendapatan Moscow untuk membiayai perangnya di Ukraine.
Import berkenaan membabitkan nilai hampir AS$250 juta pada 2021, menurut data kerajaan terkini.
Larangan itu dibuat ketika tariff 200% ke atas import aluminium Russia yang diumumkan bulan lalu oleh Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa, dan selepas Kesatuan Eropah menyekat produk keluli Russia tahun lalu.
“Kanada dan rakan kongsi kami mengenakan sekatan ke atas Bank Pusat Russia dan mengehadkan harga minyak dan gas Russia,” kata Timbalan Perdana Menteri Chrystia Freeland dalam satu kenyataan.
“Dan sekarang, kami memastikan (Presiden Vladimir) Putin tidak dapat membiayai perangnya dengan menjual aluminium dan keluli di Kanada, selaras dengan tindakan diambil AS hari ini.”
Larangan itu meliputi aluminium tidak tempa, kepingan aluminium, dan produk siap termasuk bekas dan barangan rumah lain yang diperbuat daripada aluminium.
Turut dilarang adalah semua produk keluli Russia utama, termasuk besi dan keluli bukan aloi, produk separuh siap dan siap seperti tiub dan paip.
Kebanyakan import keluli Kanada datang dari AS mewakili hampir 45% daripada eksport keluli AS, manakala hampir 90% daripada pengeluaran aluminium Kanada dihantar ke jirannya di selatan. – AFP, 11 Mac, 2023.
Komen