PIHAK berkuasa Mexico menahan lima individu berhubung kes penculikan dan pembunuhan sekumpulan rakyat Amerika Syarikat (AS) selepas suspek ditinggalkan di tepi jalan dengan tangan diikat oleh ahli kartel, kata pihak berkuasa.
Empat rakyat AS dengan dua daripadanya terbunuh, diculik selepas melepasi sempadan masuk ke Tamaulipas yang terkenal dengan jenayah, menggunakan van mini.
Pendakwa raya Tamaulipas Irving Barrios berkata waran tangkap dikeluarkan terhadap lima individu atas jenayah menculik dan membunuh.
Mereka adalah individu yang ditemui pada Khamis lalu dengan tangan terikat di tepi jalan di Matamoros, dipercayai ditinggalkan oleh ahli Kartel Gulf, kata sumber.
Media Mexico menyiarkan kenyataan dikatakan dari Kartel Gulf mengatakan kumpulan itu “minta maaf” atas insiden berkenaan.
Kumpulan itu menyerahkan pelaku kepada pihak berkuasa kerana mereka bertindak tanpa mendapat keizinan majikan, kata kenyataan itu.
Seorang lagi suspek yang dikatakan mengawal mangsa yang diculik turut ditahan sebelum ini.
Pihak berkuasa Mexico percaya pengedar dadah terbabit tersilap apabila menyangka warga AS berkenaan adalah saingannya dan menembak mereka ketika cuba melarikan diri.
Dua mangsa terselamat, dengan salah seorang mengalami kecederaan di kaki akibat ditembak, kembali ke AS pada Selasa melalui jalan darat, beberapa jam selepas diselamatkan. – AFP, 11 Mac, 2023.
Komen