Maidam tunggu laporan kuliah, khutbah Jumaat Hadi


Diyana Ibrahim

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilaporkan meneruskan kuliah dhuha mingguannya dan menyampaikah khutbah Jumaat selepas Maidam melarang ahli politik termasuk ahli parlimen berbuat demikian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac 2023.

PIHAK berkuasa agama Terengganu menunggu laporan sebelum mengambil tindakan ke atas Abdul Hadi Awang yang dilaporkan masih menyampaikan kuliah dan khutbah Jumaat selepas larangan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata pihaknya akan mempertimbangkan tindakan selanjutnya setelah laporan diterima.

“Kita tengok laporan dulu macam mana, kita kena tunggu (laporan),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai tindakan yang boleh dikenakan ke atas presiden parti PAS itu apabila ditanya.

Hadi dilaporkan meneruskan kuliah dhuha mingguannya pagi ini dan menyampaikah khutbah Jumaat selepas Maidam melarang ahli politik termasuk ahli parlimen berbuat demikian.

Arahan Maidam mengenai penyampaian ceramah agama di surau dan masjid itu dikeluarkan pada Khamis lepas.

Larangan itu hanya mengecualikan ahli politik yang mendapat tauliah dari Maidam.

Ketetapan itu bagi melaksana perintah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang dukacita kerana terdapat pihak mencemar kesucian masjid dengan menyampaikan ceramah berunsur politik.

Hadi pada minggu lalu menyatakan beliau akan tetap menyampaikan kuliah agama di masjid seperti biasa.

Hadi menegaskan, amalan itu tidak menjadi kesalahan kerana menurutnya politik tidak boleh dipisahkan dengan agama.

“Kita akan terus kuliah seperti biasa. Kita kena sedar, kita tak boleh pisahkan politik dan agama sedangkan nabi pun cakap politik dalam khutbah.

“Kita bercakap soal Islam dan Islam itu ada politiknya, politik Islam yang wajib kita cakap benda tak betul kita kena cakap (tegur) tak kiralah politik ke ekonomi.

“Tapi kalau salah, mesti wajib orang Islam tegur,” katanya.

Sementara itu, satu laporan Malaysiakini menyebut nama Hadi tidak tersenarai sebagai penerima tauliah untuk mengajar agama di Terengganu.

Laporan itu berpandukan maklumat di Portal Data Terbuka Sektor Awam yang dikemaskini setakat 4 Mac 2021.

Pesuruhjaya PAS Terengganu  Husain Awang pula dilaporkan menyarankan ahli politik parti itu memohon surat tauliah daripada Maidam sebelum mengajar atau menyampaikan kuliah di masjid.

Hussain berkata setakat ini beberapa ahli politik termasuk wakil rakyat daripada parti itu sudahpun memohon surat tauliah berkenaan. – 10 Mac 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen