Biden adakan pertemuan dengan Trudeau di Kanada, kata White House 


Presiden Joe Biden akan bertemu dengan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau di Ottawa akhir bulan ini.– Gambar EPA, 10 Mac, 2023.

PRESIDEN Joe Biden akan bertemu dengan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau di Ottawa dan berucap di Parlimen Kanada akhir bulan ini, kata White House pada Khamis.

Biden akan melakukan perjalanan pada 23-24 Mac untuk “perkukuhkan semula komitmen Amerika Syarikat terhadap perkongsian AS-Kanada dan mempromosikan keselamatan bersama, kemakmuran bersama dan nilai bersama kami,” kata Setiausaha Akhbar Karine Jean-Pierre.

Antara topik dalam agenda itu ialah “kerjasama pertahanan dan pemodenan” Pusat Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara—rangkaian pertahanan bersama bersepadu yang baru-baru ini menyaksikan sebuah jet pejuang AS menembak jatuh objek belon yang mencurigakan di ruang udara Kanada.

Biden dan Trudeau “juga akan membincangkan usaha berterusan untuk menyokong Ukraine, untuk meningkatkan kos kepada Rusia dan mereka yang menyokong usaha perangnya, dan untuk mengatasi kesan negatif perang ke atas seluruh dunia,” kata Jean-Pierre.

Mengenai isu serantau, mereka akan membincangkan krisis ketagihan dadah yang melanda kedua-dua negara dan perjuangan untuk mengawal migrasi.

“Presiden Biden juga akan berucap di Parlimen Kanada untuk menyerlahkan kepentingan hubungan dua hala Amerika Syarikat-Kanada,” kata Jean-Pierre. – AFP, 10 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen