Hospital patuh syariah di Kelantan untuk pesakit terus beribadat, kata pengarah kesihatan


Diyana Ibrahim

Pada masa ini terdapat 10 hospital bawah KKM diperakui sebagai Hospital Mesra Ibadah kerana menyediakan kemudahan serta khidmat bimbingan untuk pesakit menunaikan ibadah ketika menerima rawatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac 2023.

OPERASI patuh syariah di hospital di Kelantan sekarang hanya melibatkan aktiviti berkaitan keagamaan iaitu untuk pesakit menunaikan ibadah ketika menerima rawatan, kata Pengarah Kesihatan Negeri Zaini Hussin.

Katanya, operasi hospital pada masa ini tidak melibatkan pemisahan jantina antara petugas dan pesakit kerana faktor kekurangan petugas.

“Buat masa ini kita tidak mampu lagi (pemisahan jantina).

“Tapi secara ringkasnya operasi patuh syariah telah pun lama dijalankan dengan menggunakan konsep Hospital Mesra Ibadah mengikut seperti mana kehendak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada masa ini sekurang-kurangnya 10 hospital bawah KKM diperakui sebagai Hospital Mesra Ibadah (HMI) kerana menyediakan kemudahan serta khidmat bimbingan untuk pesakit menunaikan ibadah ketika menerima rawatan.

Hospital berkenaan ialah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu; Hospital Serdang dan Hospital Shah Alam di Selangor; Hospital Taiping dan Hospital Teluk Intan di Perak.

Lima hospital lagi ialah Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat dan Hospital Pontian, kedua-duanya di Johor serta Institut Kanser Negara di Putrajaya.

Zaini mengulas mengenai pelaksanaan operasi patuh syariah bagi hospital di Kelantan, yang pada masa ini belum mendapat pengiktirafan sebagai hospital mesra ibadah.

Katanya, usaha ke arah itu sedang dilakukan dan pihaknya mensasarkan sekurang-kurangnya sebuah hospital di Kelantan akan menerima pensijilan berkenaan pada tahun depan.

“Perbincangan dan perancangan bersama pegawai hal ehwal agama Islam dan juga wakil dari setiap hospital ke arah pensijilan HMI sedang giat kita lakukan demi untuk mencapai sasaran pada 2024 ini,” katanya.

Jelas Zaini, melalui pelaksanaan operasi hospital mesra ibadah, pesakit yang berkenaan akan dibantu dan dibimbing untuk mengerjakan sembahyang dalam apa juga keadaan, seperti tuntutan agama Islam.

Pihak hospital juga memaklumkan masuk waktu solat kepada petugas dan pesakit di wad, selain meraikan hari kebesaran dalam kalendar Islam, tambahnya.

“Kita juga sediakan ruang solat untuk pesakit dan waris di wad,” katanya.

Pihak hospital turut menempatkan pegawai hal ehwal agama Islam iaitu seorang ustaz dan seorang ustazah di Hospital Raja Perempuan Zainab, seorang ustaz di Hospital Tanah Merah, dan seorang ustazah di Hospital Sultan Ismail Petra.

Kelantan mempunyai sembilan buah hospital yang disokong keseluruhan 15,000 petugas kesihatan di klinik dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kesihatan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Ikram Rauhi Che Ibrahim menjelaskan ada perbezaan antara hospital patuh syariah dan hospital mesra ibadah.

Katanya, hospital yang beroperasi dengan sijil mesra ibadah hendaklah mesra untuk umat Islam menjalankan ibadah, iaitu ada ruang khusus untuk kemudahan beribadah yang lebih lengkap dan selesa, misalnya tempat berwuduk.

“Bukan kata dulu tak ada tempat untuk ambil air wuduk tetapi mungkin ditambah baik dengan lebih selesa dan akses lebih mudah,” katanya.

Hospital patuh syariah pula konsepnya lebih luas dan memerlukan pensijilan Hospital Patuh Syariah (HPS) MS 1900, yang diperkenalkan sejak 2014, tambahnya.

Beliau menyebut Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan serta Hospital Angkatan Terendak di Melaka dan Hospital Pakar An-Nur di Bangi sebagai contoh hospital patuh syariah.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Amanah Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata operasi patuh syariah tidak harus dilihat hanya pada pemisahan jantina antara perawat dan pesakit semata-mata.

Ia merangkumi segala aspek operasi termasuk proses pemilihan petugas kesihatan dan kakitangan sampailah kepada proses rawatan dan jual beli ubat-ubatan serta caj rawatan dan pembayaran.

Ditanya tentang kemampuan hospital di Kelantan untuk beroperasi secara patuh syariah, Hafidzah berkata ia boleh dilaksanakan dengan perancangan lebih teliti.

“Prinsip pematuhan syariah masih boleh dilaksanakan dalam keadaan sedia ada,” katanya.

Beliau turut membangkitkan status pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak patuh syariah di Kelantan, sebuah projek kerajaan negeri bernilai RM100 juta yang diumumkan pada 2018.

Katanya, kerajaan Kelantan gagal untuk menyiapkan hospital yang sepatutnya siap pada 2022.

“Kerajaan negeri sepatutnya beri penjelasan kedudukan sebenar projek ini.

“Operasi patuh syariah tidak harus dilihat hanya pada pemisahan jantina perawat dan pesakit semata-mata,” katanya. – 10 Mac, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen