Pengguna mahu sayur 'cantik' paksa pekebun guna racun perosak


Angie Tan

Pengguna perlu sedar sayur-sayuran yang sangat 'sempurna' pasti melibatkan penggunaan racun perosak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Mac, 2023.

KURANG kesedaran di kalangan pekebun dan permintaan pengguna bagi sayur-sayuran “sempurna” adalah antara sebab mendorong penggunaan racun perosak, kata petani.

Bagaimanapun, mereka menegaskan hasil tanaman dikeluarkan selamat untuk dimakan kerana mereka mengusahakan tanaman dengan selamat.

Mereka juga menggesa orang ramai supaya tidak panik selepas Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan kajian menunjukkan sejumlah besar racun perosak dikesan dalam sayur-sayuran dan beras putih yang dijual dalam pasaran, sehingga menimbulkan kebimbangan kepada pengguna.

Timbalan Presiden Persatuan Peladang Cina Cameron Highlands Cheng Nan Hong memberitahu The Malaysian Insight segala-galanya berkaitan dengan kurangnya pendidikan dan pengetahuan dalam kalangan petani dan pekerja mereka.

Beliau juga berkata pengguna lebih suka membeli sayur-sayuran yang kelihatan cantik dan tidak rosak, yang bermakna ia memerlukan penggunaan racun perosak.

“Saya tidak cuba mengalihkan kesalahan kepada pengguna, tetapi apabila pasaran mempunyai permintaan ini, petani akan memberi tekanan kepada pekerja, mengatakan mereka mahu sayur-sayuran yang cantik, jika tidak tiada siapa akan membawanya ke pasar.

“Jika ia tidak boleh dijual, pekerja akan kerap menyembur racun perosak untuk mengelakkan perosak dan memastikan sayur-sayuran itu terus elok dan segar,” kata Cheng.

Faktor lain ialah apabila cuaca berubah, sesetengah pekebun mungkin menyembur racun perosak terlalu banyak kerana jika cuaca lembab berterusan, ia akan mengakibatkan suhu rendah, yang tidak sesuai untuk pertumbuhan sayur-sayuran.

“Sesetengah petani terus menuai hasil dan membekalkan sayur-sayuran ke pasar tanpa menunggu racun pada sayur meruap.

“Selepas menyembur racun perosak, kebiasaannya ia perlu mengambil masa tiga hingga lima hari untuk meruap, tetapi apabila bekalan di pasaran tidak mencukupi, ada petani yang terdesak mengutip sayur dengan segera,” katanya.

Cheng percaya faktor yang dinyatakan di atas boleh menyebabkan penggunaan racun perosak berlebihan dalam sayur-sayuran tetapi dalam analisis akhir, katanya semuanya berkait dengan kurangnya pendidikan dan pengetahuan petani.

Beliau berkata, petani secara umumnya menggunakan racun perosak mengikut label yang tertera padanya, tetapi mendakwa ada petani yang kurang pengetahuan mengenainya.

“Mereka hanya mengikut cakap orang lain dan menyembur, tetapi sebenarnya jumlah racun perosak yang disembur atau berapa lama masa yang diperlukan untuk mengutip hasil, mereka semua perlu belajar.

“Bagi menyelesaikan masalah itu, petani dan pengguna mesti bekerjasama antara satu sama lain. Petani mesti dididik mengenai penggunaan racun perosak, dan pengguna mesti mengubah pemikiran mereka, kerana sayur-sayuran yang terlalu sempurna mesti ada racun, dan mustahil untuk mengatakan tiada penggunaan racun perosak,” katanya.

Cheng juga menambah baru-baru ini semakin ramai pekerja kebun mengusahakan sendiri kebun sayur, yang menambah masalah.

Pekerja haram menjadi petani

Presiden Persekutuan Persatuan Peladang Sayuran Lim Ser Kwee bersetuju.

Katanya, terdapat semakin ramai pekerja asing tanpa izin mengusahakan kebun sayur di negara ini.

Beliau mendakwa jika kerajaan terus mengabaikan isu itu, ia akhirnya akan mengakibatkan kesan buruk.

“Mereka tidak mengemukakan sebarang permohonan kepada pihak berkuasa untuk menanam sayuran dan boleh juga menjual terus hasil mereka di pasaran.

“Tiada siapa tahu sama ada akan ada pelbagai masalah dalam proses itu,” kata Lim.

Beliau berkata, dengan pelaksanaan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) oleh Kementerian Pertanian, persekutuannya akan terus menggalakkan ahli memohon dan mematuhinya.

“Memandangkan kami sudah memohon, kami akan ada penyeliaan, dan juga akan disemak dan diuji oleh Kementerian Pertanian,” katanya.

Beliau menegaskan kemungkinan racun perosak melebihi jumlah standard memang wujud, tetapi mendakwa kajian itu menunjukkan 35 bahan kimia ditemui dalam satu sayur, tidak masuk akal.

“Walaupun petani, kami juga pengguna. Kami mesti tanam sayur secara selamat.

“Racun perosak mesti disembur mengikut arahan diberikan, dan mustahil menyemburnya setiap hari. Selain itu, harga setin racun perosak juga sangat mahal.”

Beliau percaya penyelidikan CAP nampaknya menjejaskan usaha petani.

“Sekiranya keadaan benar-benar serius, CAP juga harus melaporkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan dan memaklumkan kepada petani, bukan hanya menerbitkan penyelidikan,” katanya. – 10 Mac 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen