AS beri kebenaran rampas pesawat milik syarikat tenaga Russia


Mahkamah New York benar rampasan pesawat Boeing 737-7JU milik syarikat tenaga Russia Rosneft dengan alasan melanggar sekatan eksport serta sekatan AS ke atas Russia. – Gambar fail AFP, 9 Mac, 2023.

MAHKAMAH New York membenarkan rampasan pesawat Boeing 737-7JU milik syarikat tenaga Russia Rosneft dengan alasan melanggar sekatan eksport serta sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas Russia, kata Jabatan AS Keadilan (DoJ).

Menurut kenyataan DoJ, pesawat Boeing bernilai kira-kira AS$25 juta itu berlepas dari negara asing ke Rusia sekurang-kurangnya tujuh kali sejak Februari 2022, sejak sekatan eksport dikuat kuasa dan menghalang pesawat itu daripada memasuki semula Russia, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Rampasan itu “berdasarkan kemungkinan pelanggaran Akta Pembaharuan Kawalan Eksport (ECRA) dan sekatan yang dikenakan terhadap Russia baru-baru ini,” menurut DoJ dalam satu kenyataan.

AS mengenakan beberapa sekatan terhadap Moscow sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada Februari 2022, termasuk kawalan eksport dan keperluan lesen untuk melindungi keselamatan negara AS dan kepentingan dasar luar.

“Sekatan Russia kini diperluaskan termasuk larangan ke atas eksport, eksport semula atau pemindahan dalam negara, antara lain, pesawat buatan AS ke atau dari Russia tanpa lesen atau pengecualian lesen yang sah untuk pesawat yang dimiliki, atau di bawah sewaan atau pajakan oleh Russia dan/atau warga Russia,” menurut DoJ. – Bernama, 9 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen