Muhyiddin dijangka didakwa esok, kata SPRM


Kalidevi Mogan Kumarappa

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengaminkan doa yang dibacakan untuknya ketika tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini untuk disoal siasat kes membabitkan Jana Wibawa. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Mac, 2023.

BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin mungkin akan didakwa di mahkamah esok, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Beliau mengesahkan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu sedang diambil keterangan oleh agensi antirasuah di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

“Besar kemungkinan esok akan didakwa… bukan hari ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Muhyiddin tiba di ibu pejabat SPRM itu pada 11.17 pagi tadi disambut ratusan penyokong Perikatan Nasional dan ahli parti komponennya.

Muhyiddin hadir untuk memberi keterangan dipercayai berkaitan dakwaan penyelewengan dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa atau Jana Wibawa, yang dikeluarkan semasa pandemik Covid-19.

SPRM sedang menyiasat dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan Jana Wibawa, termasuk wang yang masuk ke akaun milik Bersatu dan digunakan semasa pilihan raya umum lepas untuk kempen PN.

Muhyiddin menafikan tuduhan dan menyifatkannya bermotifkan politik untuk melemahkan PN.

Sebelum ini dua pemimpin Bersatu didakwa di mahkamah atas tuduhan meminta dan menerima wang daripada kontraktor yang menerima projek Jana Wibawa.

Pada 21 Februari bekas ketua penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad juga dituduh di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 melibatkan projek Jana Wibawa.

Sehari kemudian, Adam Radlan didakwa pula di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dakwaan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama.

Beliau didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 28 Februari atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Media hari ini turut melaporkan Muhyiddin disekat daripada ke luar negara. Beliau dilapor mencabar sekatan itu, berdasarkan dokumen yang difail di mahkamah. – 9 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen