SEORANG ahli Parlimen Uganda semalam memohon maaf atas kenyataanya menggalakkan para suami memukul isteri untuk “mendisiplinkan” mereka, yang mendapat bantahan di Afrika Timur.
Ahli Parlimen itu, Onesmus Twinamasiko, menulis kepada Parlimen yang dia sebenarnya “membenci semua bentuk keganasan terhadap wanita”.
“Tolong terima permohonan maaf paling tulus dari saya kepada semua yang berhormat, masyarakat awam dan terutama sekali kaum wanita.”
Permohonan maaf itu menyusul selepas Twinamasiko dalam satu temubual di stesen televisyen tempatan, NTV sehari selepas Hari Wanita pada 8 Mac lalu berkata: “Sebagai seorang lelaki, kamu harus mendisiplinkan isteri kamu, anda perlu sentuh dan tambat hatinya, dan memukulnya untuk mendisiplinkannya.”
Kenyataan Twinamasiko itu mengundang kemarahan dari kaum wanita.
Bagaimanapun, pandangannya itu bukanlah sesuatu yang luar biasa di Uganda. Satu laporan kerajaan yang diterbitkan pada 2016 menunjukkan setiap satu darilima wanita Uganda berumur antara 14 dan 49 tahun dilaporkan telah didera secara fizikal dan seksual dalam tempoh 12 bulan.
Speaker Parlimen, Rebecca Kadaga berikrar akan menyiasat Twinamasiko kerana menggalakkan keganasan terhadap wanita dan persatuan parlimen waita menuntutnya menarik semula kenyataan tersebut serta meminta maaf.
Sementara itu, di Twitter, tanda pagar #OnemusTwinamasikoMustResign kini trending di Uganda. – AFP, 15 Mac, 2018.
Komen