10 anggota militan IS mati dibunuh di Kirkuk


Militan IS dikepung oleh pejuang Hashd Shaabi dalam operasi yang menyasarkan tempat persembunyian kumpulan pengganas itu berhampiran Hawijah, kira-kira 230 kilometer di utara ibu kota Iraq, Baghdad. – Gambar fail EPA, 15 Mac, 2018.

PASUKAN separa tentera Hashd Shaabi yang disokong kerajaan, pada Rabu membunuh 10 anggota militan Islamic State (IS) berhampiran Hawijah di wilayah Kirkuk, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan tentera Iraq.

Militan IS dikepung oleh pejuang Hashd Shaabi dalam operasi yang menyasarkan tempat persembunyian kumpulan pengganas itu berhampiran Hawijah, kira-kira 230 kilometer di utara ibu kota Iraq, Baghdad.

Menurut kenyataan unit separa tentera itu, kejadian berlaku ketika anggota Hashd Shaabi mengejar sekumpulan militan IS lain di kawasan pedalaman berhampiran Hawijah.

Mereka turut menemui sebuah kubur mengandungi mayat enam individu yang dipercayai dibunuh oleh miltan IS berhampiran bekas kubu kuat mereka di Hawijah.

Pada Ahad, polis persekutuan Iraq dan briged Hashd Shaabi menjalankan operasi untuk membersihkan saki-baki militan IS dari satu kluster perkampungan berhampiran al-Ryahd di Hawijah, yang terletak di barat daya Kirkuk.

Operasi itu adalah susulan laporan risikan yang militan IS sedang bersiap siaga untuk menyerang pasukan keselamatan dan orang awam di wilayah Kirkuk yang kaya dengan minyak, menurut kenyataan Hashd Shaabi.

Berpuluh-puluh militan IS melarikan diri dari bekas kubu kuat mereka di bandar Mosul, Salahudin dan Hawijah selepas pasukan tentera Iraq membersihkan kesemua kawasan ini semasa satu serangan besar-besaran beberapa bulan lepas.

Saki-baki militan IS melarikan diri ke kawasan berceranggah berhampiran Sungai Tigris dan Zab serta kawasan pergunungan Himreen untuk meneruskan serangan mereka ke atas orang awam dan tentera Iraq.

Pada 9 Disember 2017, Perdana Menteri Iraq Haider al-Abadi secara rasmi mengisytiharkan pembebasan penuh Iraq daripada militan IS selepas tentera Iraq menawan semula semua kawasan yang sebelum ini dikuasai kumpulan ekstremis itu.

Bagaimanapun, kumpulan kecil dan individu militan IS masih melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan dan orang awam meskipun operasi berterusan dilakukan untuk memburu mereka. – Bernama, 15 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen