Imigresen tumpas sindiket seludup pendatang dari Thailand


Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata siasatan awal mendapati sindiket itu mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 seorang untuk masuk secara haram ke Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac 2023.

JABATAN Imigresen menumpaskan sindiket menyeludup pendatang asing tanpa izin (Pati) menggunakan kenderaan dari sempadan Thailand ke Lembah Klang dalam operasi di Jeli dan Gua Musang.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata siasatan awal mendapati sindiket itu mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 seorang untuk masuk secara haram ke Malaysia.

“Seramai 15 pendatang asing berusia 24 hingga 54 tahun terdiri daripada 12 orang lelaki dan tiga orang perempuan warganegara Indonesia.

“Turut ditahan tiga rakyat tempatan yang memainkan peranan sebagai ‘transporter’ ditahan pada 6 Mac lalu di beberapa lokasi sekitar Kelantan,” katanya dalam kenyataan.

Tiga lelaki rakyat tempatan itu akan dibawa ke mahkamah untuk perintah tahanan reman bagi siasatan lanjut.

Imigresen turut menyita tiga buah kenderaan pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM100,000.

Menurut Khairul, semua Pati yang ditahan baru tiba dari negara jiran melintasi Sungai Golok dan kemudian dipindahkan dengan tiga buah kenderaan ke rumah tumpangan

Katanya, berdasarkan maklumat orang awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi mendapati modus operandi sindiket ialah masuk melalui laluan udara ke Thailand seterusnya menyeludup sempadan Malaysia-Thailand melalui Sungai Golok.

“Dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap Pati untuk masuk ke Malaysia. 

“Kesemua Pati ini kemudian akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor untuk bekerja secara tidak sah.

“Bagi Pati wanita pula, mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati ‘transporter’ tempatan menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap Pati yang diangkut dari sempadan menaiki kenderaan ditetapkan.

“Semasa serbuan dilakukan terdapat ‘transporter’ dan Pati yang cuba melarikan diri dengan bertindak secara agresif dan memberi ancaman secara fizikal. Namun, tindakan mereka berjaya digagalkan oleh pegawai operasi.

“Sindiket dipercayai aktif sejak Mei 2022 dan menyasarkan Pati berasal dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh serta India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan anggaran, seramai 160 Pati di bawa masuk oleh sindiket ini dalam tempoh sebulan dan kerajaan dianggarkan mengalami kerugian hasil sebanyak RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing.

Kesemua Pati ditangkap disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – 8 Mac 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen