CHINA mendakwa Amerika Syarikat (AS) mencetuskan ketegangan antara kedua-dua kuasa besar itu dan memberi amaran jangan cetuskan “konflik dan konfrontasi”.
Menteri Luar Beijing Qin Gang ketika ditemui di luar Kongres Kebangsaan Rakyat (NPC), berkata AS akan berdepan malapetaka jika meneruskan hala tujunya sekarang.
“Jika AS tidak berhenti tetapi terus memecut di laluan yang salah, tidak ada ‘penghadang jalan’ yang dapat melindungi mereka, pasti akan berlaku konflik dan konfrontasi.
“Persaingan AS dengan China bagai memperjudikan nasib secara membuta tuli dengan mempertaruhkan kepentingan asas dua orang, malah mungkin juga masa depan manusia.
“Ia adalah permainan antara hidup dan mati yang tidak akan ada pemenang,” katanya pada satu sidang akhbar.
Sebagai tindak balas, Washington menafikan ia mencari konflik dengan Beijing dan menegaskan hubungan itu adalah satu persaingan strategik.
Jurucakap keselamatan negara White House John Kirby berkata tidak ada perubahan pada kedudukan AS dalam hal hubungan dua hala ini.
“Tiada apa-apa mengenai pendekatan kami terhadap hubungan dua hala hingga menimbulkan konflik.
“Kami berhasrat untuk bersaing dan memenangi pertandingan itu dengan China, tetapi kami benar-benar mahu mengekalkannya pada tahap itu saja,” katanya.
Komen Qin itu menyusuli kenyataan Presiden Xi Jinping yang menegur AS kerana cuba mengekang, mengepung dan menekan China serta menggalakkan sektor swasta meningkatkan inovasi untuk berdikari.
Menurut agensi berita Xinhua, Xi berkata China mesti ada keberanian untuk berjuang kerana negara itu menghadapi perubahan yang mendalam lagi rumit dalam landskap domestik dan antarabangsa. – AFP, 8 Mac, 2023.
Komen