AMERIKA Syarikat (AS) mengumumkan dana sebanyak AS$26 juta bantuan kemanusiaan baharu untuk pelarian Rohingya di Bangladesh dan tempat lain di Asia.
Ini berikutan kira-kira sejuta pelarian Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam tinggal di kem bantuan yang daif di Bangladesh, selepas melarikan diri daripada tindakan keras tentera pada 2017 di negara jiran Myanmar.
Tindakan itu menyebabkan berlaku satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia.
Jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price berkata pembiayaan baharu itu membolehkan rakan kongsi kemanusiaan terus memberikan bantuan menyelamatkan nyawa kepada komuniti terjejas di kedua-dua belah sempadan Myanmar dan Bangladesh.
Katanya, peruntukan terbaru itu menjadikan sejumlah AS$1.2 bilion diperuntukkan AS bagi membantu masyarakat Rohingya sejak Ogos 2017.
Semalam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata ia memerlukan AS$876 juta bagi memenuhi keperluan kemanusiaan Rohingya di Bangladesh, selepas kemerosotan sumbangan memaksa catuan makanan dilakukan.
Bulan lalu, Program Makanan Sedunia (WFP) berkata ia akan mengurangkan nilai bantuan makanannya bagi masyarakat Rohingya daripada AS$12 kepada AS$10 seorang, mulai bulan ini.
Belanjawan penderma terjejas akibat pandemik, kemelesetan ekonomi dan krisis di seluruh dunia.
WFP merayu pembiayaan segera berjumlah AS$125 juta dan memberi amaran mengenai kesan besar dan berpanjangan terhadap keselamatan makanan serta pemakanan di kem yang penuh dengan masalah kekurangan zat, di mana lebih satu pertiga kanak-kanak terbantut dan berat badan kurang. – AFP, 8 Mac, 2023.
Komen