Polis siasat pergaduhan rumah tangga bekas pegawai kanan polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

POLIS sedang menyiasat laporan polis daripada seorang wanita yang mendakwa dipukul oleh suaminya, yang juga adalah seorang bekas pegawai kanan polis, di kediaman mereka di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim ketika dihubungi The Malaysian Insight mengesahkan menerima laporan daripada kedua-dua pihak termasuk bekas pegawai kanan polis itu.

“Aduan yang diterima daripada kedua-dua pihak dalam siasatan.

“Kami menerima aduan pada 1 Mac lalu,” katanya.

Sementara itu, sumber memberitahu laporan polis yang dibuat oleh wanita berumur 42 tahun itu menyebut punca pergaduhan berhubung pembahagian harta dan nafkah.

“Dalam kejadian itu, bekas pegawai kanan polis itu baru pulang ke rumah mereka dan ketika memberi wang belanja, wanita itu merakam video semua tindakan pegawai itu.

“Akibat berang dengan tindakan isterinya, bekas pegawai itu merampas telefon bimbit wanita itu dan pergaduhan menjadi sengit.

“Wanita itu mendakwa dipukul suaminya di kepala dan belakang leher,” katanya.

Sementara itu, bekas pegawai polis berusia 70-an itu membuat laporan menerusi peguamnya di balai polis sama pada hari yang sama.

“Dalam laporan peguamnya, dinyatakan pegawai kanan itu mendakwa dipukul menggunakan helmet dalam kejadian itu,” katanya. – 7 Mac, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen