Perkeso rekod penurunan kadar kemalangan hingga 80% tahun lalu


Sebanyak 26 majikan terkeluar daripada senarai 100 majikan tertinggi kemalangan Perkeso dalam kategori kemalangan perjalanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac, 2023.

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) mencatatkan penurunan kadar kemalangan perjalanan dan industri sehingga 80% sepanjang pelaksanaan Ops Cegah tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

Ketua eksekutifnya, Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata hasil operasi tahun lalu, sebanyak 26 majikan terkeluar daripada senarai 100 majikan tertinggi kemalangan Perkeso dalam kategori kemalangan perjalanan.

“Mereka ini menunjukkan penurunan kadar kemalangan antara 12 hingga 80% tahun lalu berbanding tahun 2021,” katanya pada Majlis Pelancaran Ops Cegah 2023 di Menara Perkeso, di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, katanya, sejumlah 32 majikan berjaya keluar daripada senarai 100 majikan tertinggi kemalangan Perkeso dalam kategori kemalangan industri  dengan mencatatkan pengurangan kemalangan antara enam hingga 80%.

Azman berkata jumlah kemalangan dilaporkan kepada Perkeso tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 26.6% iaitu 72, 149 kes banding 56,990 kes pada 2021.

“Peningkatan ini mungkin disebabkan lebih banyak sektor ekonomi yang kembali dibuka dan rancak meneruskan aktiviti mereka pascapandemik Covid-19,” katanya.

Berhubung Ops Cegah 2023 bermula hari ini hingga 22 Mac ini, katanya, pihaknya menyasarkan lawatan ke lebih 1,000 premis majikan di seluruh negara bagi sesi pertemuan dengan pengurusan syarikat syarikat yang merekodkan kadar kemalangan tertinggi.

Menurutnya, pertemuan tersebut adalah berdasarkan senarai 100 majikan tertinggi dalam kategori kemalangan perjalanan dan 20 syarikat tertinggi dalam kategori industri, sepanjang tahun lalu.

Azman berkata Ops Cegah tahun ini dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

“Selain itu, ia turut melibatkan kerjasama Institut Penyelidik Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan disokong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya. – Bernama, 7 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen