KEMAJUAN mengenai hak wanita semakin lenyap, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, sambil memberi amaran kesamaan jantina akan mengambil masa 300 tahun lagi untuk dicapai.
“Ketidaksamaan jantina semakin melebar. Agensi Wanita PBB mensasarkannya 300 tahun lagi.
“Hak wanita disalah guna, diancam dan dicabuli di seluruh dunia. Kemajuan yang dicapai selama berdekad lalu semakin lenyap di depan mata kita,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Agung PBB semalam, menjelang Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac.
Guterres selain itu menekankan situasi di Afghanistan yang semakin teruk di bawah pentadbiran Taliban, yang menafikan hak serta kebebasan wanita dan kanak-kanak perempuan di negara itu.
Di banyak negara lain juga katanya, keselamatan kanak-kanak perempuan terancam, berisiko diculik dan diserang.
“Selama berabad diskriminasi dan tanggapan stereotaip berbahaya telah mewujudkan jurang jantina yang melebar dan sains dan teknologi,” tambah Guterres, memetik hanya 3% wanita memenangi hadiah Nobel dalam bidang itu.
Beliau seterusnya menggesa kerajaan di seluruh dunia, sektor swasta dan masyarakat menyediakan peluang pendidikan, meningkatkan latihan kemahiran dan giat melabur dalam usaha merapatkan jurang jantina dalam bidang digital.
“PBB sentiasa berdiri teguh bersama wanita dan kanak-kanak perempuan di mana sahaja,” katanya. – AFP, 7 Mac 2023.
Komen